SIBU: MYAirline melancarkan penerbangan dua kali sehari antara Kuala Lumpur dan Sibu hari ini, iaitu destinasi keduanya di Sarawak.
Penerbangan Z9 8201 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 12.45 tengah hari yang membawa 178 penumpang tiba di Lapangan Terbang Sibu jam 2.45 petang, tadi.
Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Khairul Firdaus Akbar Khan yang turut berada di dalam pesawat itu berkata penerbangan sulung itu adalah bertepatan dengan sambutan Tahun Baharu Cina dan menggambarkan semangat perayaan oleh syarikat penerbangan berkenaan.
“Walaupun syarikat tambang murah, setiap elemen yang disediakan oleh MYAirline sangat baik. Perkhidmatan yang diberikan memberi kepuasan terutama kepada penduduk di Sibu,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Sibu, sebentar tadi..
Ketika ditanya sama ada kementerian meneliti harga tiket yang tinggi pada musim perayaan dan kesan pemain industri itu, beliau berkata, mereka telah berbincang dengan Kementerian Pengangkutan.
“Saya dimaklumkan bahawa Menteri, Dato Sri Tiong King Sing sudah pun berjumpa dengan syarikat penerbangan berhubung isu ini. Kita sedia maklum bahawa kenaikan tiket penerbangan adalah tidak adil kepada rakyat kita,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MYAirline, Rayner Teo berkata, laluan baharu ini akan menyediakan pengembara dengan ketersambungan yang lebih besar antara Malaysia Timur dan Barat dengan pintu masuk yang berpatutan kepada penawaran kebudayaan di Sibu.
“Kami berbesar hati melancarkan laluan Kuala Lumpur-Sibu pada bulan mulia Tahun Baharu Cina ini di mana keluarga akan dapat pulang ke rumah dan bertemu semula dengan orang tersayang.
“Laluan baharu ini akan menyediakan pengembara dengan sambungan yang lebih baik antara Malaysia Timur dan Barat,” katanya.
Beliau berkata, MYAirline komited untuk menyediakan perkhidmatan terbaik dengan fokus utama pada pengalaman penumpang yang unggul dan kebolehpercayaan, termasuk terbaik dalam kelasnya untuk prestasi tepat pada masanya.
“Saya juga gembira untuk mengumumkan bahawa sempena laluan Kuala Lumpur ke Sibu, kami telah melancarkan Jualan Super Sarawak dengan tempoh perjalanan dari 18 Januari hingga 31 Julai 2023,” katanya.
Destinasi pertama MYAirline di Sarawak, bandar Kuching, telah dilancarkan pada 1 Disember 2022. Syarikat penerbangan itu merancang untuk terus mengembangkan rangkaiannya dan menawarkan lebih banyak pilihan perjalanan kepada pengembara.
Oleh AKUN GIMAN