
KUCHING: Pembukaan Muzium Warisan Industri Limbungan Brooke dilihat menyokong sasaran Sarawak untuk meningkatkan jumlah pelancong kepada 12.7 juta orang menjelang 2035 di bawah Pelan Induk Pelancongan Sarawak Ketiga.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pembangunan muzium tersebut merupakan antara inisiatif strategik kerajaan negeri dalam memperkukuh produk pelancongan berasaskan warisan dan sejarah.
Menurut beliau, usaha tersebut bukan sahaja memperkaya ekosistem pelancongan Sarawak, malah menyokong sasaran menjana pulangan ekonomi sehingga RM50 bilion dalam tempoh berkenaan.
“Pembukaan muzium ini bukan sahaja menambah produk pelancongan, tetapi memperkukuh keseluruhan ekosistem pelancongan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Muzium Warisan Industri Limbungan Brooke di sini, semalam.

Abdul Karim berkata, muzium tersebut menampilkan elemen warisan industri yang unik termasuk koleksi jentera, struktur kejuruteraan dan replika kapal Zahora yang menjadi simbol era pentadbiran Brooke.
“Projek transformasi Limbungan Brooke kepada muzium warisan industri dilaksanakan secara berfasa dari 2020 hingga 2025 dengan kos sekitar RM46.7 juta,” dedahnya.
Menurut beliau, muzium tersebut dijangka mampu menarik jumlah pengunjung yang tinggi, setanding dengan pencapaian Muzium Budaya Borneo (BCM).
Berkongsi sedikit sejarah limbungan tersebut, Abdul Karim berkata, “Limbungan Brooke mempunyai nilai sejarah penting yang bermula sejak 1912 apabila ia dirasmikan oleh keluarga Diraja Brooke, sekali gus menandakan permulaan kepada pembangunan pusat penyelenggaraan kapal berskala industri di negeri ini.”
Katanya, catatan sejarah itu membuktikan bahawa Sarawak telah lama mempunyai peranan penting dalam sektor maritim dan kejuruteraan pada zaman tersebut.
Dibina pada 1908 dan mula beroperasi pada 1912, Limbungan Brooke merupakan limbungan kapal tertua di Sarawak dan Malaysia.
Pada peringkat awal, ia berfungsi untuk menyelenggara kapal milik Rajah sebelum berkembang kepada aktiviti pembaikan kapal, sokongan industri minyak dan gas serta latihan kejuruteraan, sekali gus menjadi antara kawasan perindustrian terawal di Kuching.
Oleh Adele Rissa