
KUCHING: Pembukaan Muzium Warisan Industri Limbungan Brooke bukti usaha kerajaan Sarawak dalam memperkukuh pemuliharaan warisan industri, sekali gus menjadi salah satu produk pelancongan baharu di negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, muzium tersebut memaparkan sejarah awal kejuruteraan tempatan yang telah wujud sejak era Limbungan Brooke dan Kerja-Kerja Kejuruteraan.

Menurut beliau, kewujudan limbungan berkenaan menunjukkan masyarakat tempatan telah lama mempunyai pengetahuan dan kepakaran dalam bidang kejuruteraan.
“Ini adalah legasi yang harus kita pertahankan dan pamerkan dalam budaya serta identiti wilayah kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Muzium Warisan Industri Limbungan Brooke di sini, semalam.

Abang Johari berkata, pembinaan semula replika kapal Zahora di muzium tersebut memberi gambaran jelas mengenai peranan penting pengangkutan air dalam sistem pentadbiran Sarawak suatu ketika dahulu.
“Kapal yang digerakkan menggunakan enjin wap itu bukan sahaja berfungsi sebagai pengangkutan, malah menjadi simbol pentadbiran negeri dan berkhidmat lebih 30 tahun sebelum dilupuskan,” ujarnya.
Tambah beliau, pembangunan muzium berkenaan diyakini mampu menyumbang kepada pertumbuhan industri pelancongan negeri yang turut memberi limpahan ekonomi kepada sektor lain seperti perhotelan dan perkhidmatan.
Oleh Adele Rissa