ALEXANDRA LORNA
KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah berkata, adalah mustahil untuk meramalkan beberapa daerah akan dikategorikan sebagai kawasan hijau dalam masa yang terdekat ini.
Beliau berkata, sudah tentu, pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) inginkan semua daerah berada dalam kawasan hijau.
“Tetapi bilakah semuanya akan berada dalam kawasan hijau, kita tidak tahu.
“Kita tidak boleh membuat ramalan begitu sahaja kerana untuk memastikan sesuatu kawasan itu dikategorikan kawasan hijau, ia harus mengikut definisi perubatan, iaitu tiada kes positif selama 14 hari,” jelasnya sambil menambah rekod sejarah kawasan tersebut juga perlu dinilai.
Beliau berkata demikian semasa sidang media laporan harian Covid-19 Sarawak di Bangunan Lama Dun, Petra Jaya semalam.
Beliau berkata, keadaan yang amat membimbangkan sekarang adalah kes postif dari kluster sporadik kes dan kluster yang baharu serta yang masih dalam siasatan.
“Namun, bagi beberapa kluster yang awal sebelum ini, jumlah kes positif direkodkan dilihat semakin menurun,” katanya kagi.
Uggah berkata, bagi pelajar dari kawasan hijau yang ingin kembali ke kampung halaman, Prosedur Operasi Standard (SOP) terperinci bagi butiran perjalanan mereka akan diumumkan hari ini.
Bagi pihak perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang terjejas dan kehilangan pekerjaan disebabkan oleh lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau berkata pihak tersebut layak untuk mendapatkan bantuan khas Sarawakku Sayang (BKSS).
“Ini kerana mereka berada dalam golongan B40, disebabkan kehilangan punca pendapatan dan mereka haruslah seorang rakyat Sarawak,” katanya lagi.