
MIRI: Bahagian Miri terus memperkukuh tindakan bersepadu dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah menerusi Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Peringkat Bahagian Miri Bilangan 1 Tahun 2026 yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Pejabat Residen Miri, hari ini.
Menurut Residen Bahagian Miri, Galong Luang, ancaman dadah kini semakin mencabar dengan peningkatan nilai rampasan, khususnya melibatkan methamphetamine (syabu), selain kemunculan dadah sintetik baharu seperti furanyl fentanyl yang dikesan memasuki pasaran negara.
Beliau berkata, sindiket pengedaran dadah kini menggunakan modus operandi yang lebih licik, termasuk penyeludupan rentas sempadan dan eksploitasi platform digital, sekali gus menuntut kerjasama yang lebih menyeluruh antara semua pihak.
“Sinergi strategik antara agensi kerajaan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan komuniti perlu terus diperkukuh melalui pendekatan menyeluruh yang melibatkan aspek pencegahan, penguatkuasaan, rawatan, pemulihan dan penglibatan masyarakat,” katanya.
Tambah beliau, MTMD berperanan sebagai platform utama dalam menyelaras dasar, strategi dan program membanteras dadah di peringkat bahagian sebelum dibawa ke peringkat negeri.
Mesyuarat tersebut turut membincangkan pelbagai kertas pertimbangan dan makluman, termasuk pelaksanaan Program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Miri serta laporan statistik penguatkuasaan daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan pejabat daerah.
Galong berharap setiap keputusan yang dipersetujui dapat dilaksanakan secara cekap dan berkesan demi memastikan usaha membanteras dadah di Bahagian Miri terus diperkukuh.
Oleh Liong Chai Ling