KUCHING: Kementerian Pelancongan, Kesenian dan kebudayaan Sarawak (MTAC) dengan kerjasama Persatuan Penggiat Seni dan Kebudayaan Malaysia, Kuching (MACPA) bakal menganjurkan majlis ‘Anugerah Seniman Muzik Sarawak 2020’.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman berkata, pertandingan tersebut adalah yang pertama kali itu adalah untuk memberi pengiktirafan kepada sumbangan, pengorbanan dan jasa penggiat seni muzik era 50-an, 60-an dan 70-an di Sarawak.
“Ini adalah inisiatif kementerian dan Persatuan penggiat Seni dan Kebudayaan Malaysia, Kuching (MACPA) untuk mengiktiraf Seniman Muzik Sarawak yang telah berjuang dalam Industri Muzik Sarawak.
“Seperti yang kita ketahui, Industri Muzik Sarawak telah melahirkan ramai seniman Sarawak yang berkaliber seperti Datuk Sabanun Merikan, Pauline Linang, Datin Senorita Linang, Safar Ghafar, Rahim Saring dan ramai lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Karim turut berkata, inisiatif daripada pihak NGO juga amat diperlukan untuk menyokong dan membantu pihak MTAC mengenal pasti usaha-usaha seniman seni Sarawak.
“Saya percaya ‘Anugerah Seniman Muzik Sarawak 2020’ ini mampu membawa perkembangan pesat kepada bidang seni muzik, nyanyian, ciptaan dan pengubahan lagu Sarawak.
“Anugerah ini wajar disokong oleh semua pihak bagi memberi ruang dan peluang untuk memartabatkan golongan artis dan penggiat seni dalam usaha untuk mempromosikan Bumi Kenyalang di peringkat kebangsaan malah di mata dunia.
“Di samping itu, anugerah seperti ini dianggap sebagai platform bagi memberangsangkan penjanaan modal insan yang berilmu, berkemahiran, kreatif dan inovatif dalam sektor muzik sekaligus membantu di dalam melestarikan jangka panjang Industri muzik Bumi Kenyalang,”ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media berkenaan dengan Persembahan Muzikal Sarawak harmoni ‘Sejambak Budi daripada Anak Seni’ dan Persembahan Muzikal Sarawak Harmoni Pemimpin Berjiwa Rakyat ‘hati ke Hati’ di Dewan Mesyuarat Mulu, Tingkat 17, Bangunan Baitulmakmur 2, Petra Jaya, semalam.
Sebanyak 47 penerima anugerah dalam 7 kategori akan menjadi rebutan dalam kalangan barisan penyanyi, komposer, penulis lirik dan penggiat seni muzik negeri Sarawak iaitu Anugerah Tokoh Kenyalang Emas, Anugerah Tokoh Permata Kenyalang, Anugerah Cahaya Kenyalang, Anugerah Tokoh Mutiara kenyalang, Anugerah Bintang Harapan, Anugerah Bintang Lagenda dan Anugerah Bintang Sepanjang Zaman.
“Seniman-seniman yang berjaya dinobatkan dengan anugerah tersebut kelak akan membawa pulang tunai, trofi dan sijil dan pengiktirafan tertinggi dari Kerajaan Negeri Sarawak.
“Anugerah Seniman Sarawak 2020 ini tepat pada masanya dan saya menyeru dan mencabar semua pihak terutamanya syarikat swasta, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), penyokong atau aktivis seni supaya segera bertindak dan menyumbang warisan seni yang diwarisi daripada generasi terdahulu dapat dipelihara dan dilindungi,” Katanya.
Turut hadir Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan kebudayaan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew.
Oleh Jeakqleyn Yacho