SRI AMAN: Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis semalam menyerahkan peruntukan projek kecil luar bandar (MRP) bernilai RM40,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Paku, Undop di sini.
Francis Harden menyerahkan cek peruntukan kerajaan itu pada satu majlis ringkas di Dewan Komuniti, Ulu Paku Undop di sini.
Berucap pada majlis itu, beliau memohon PIBG SK Paku untuk memanfaat sebaik mungkin bantuan kerajaan itu demi pembangunan murid dan sekolah.
“Adalah menjadi tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat GPS untuk sentiasa turun padang bagi membantu menjayakan proses pembangunan murid di sekolah-sekolah melalui penyaluran peruntukan kerajaan.
“Oleh itu saya berharap PIBG SK Paku dapat mengadakan perbincangan bagi menentukan cara pengagihan duit ini sebelum ia digunakan bagi tujuan pembangunan murid dan sekolah,” kata beliau.
Selain itu, beliau juga memohon kepada ibu bapa murid SK Paku untuk terus memperkukuhkan hubungan dengan guru demi memudahkan urusan pembelajaran anak-anak mereka apabila sesi persekolahan kembali normal kelak.
Malah beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berharap agar kedua-dua pihak dapat terus mengadakan mesyuarat sambil mematuhi penjarakan sosial dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sekarang.
“Covid-19 telah menjejaskan sesi pembelajaran anak-anak kita untuk tempoh yang lama apabila kerajaan menutup sekolah-sekolah bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 di negara ini.
“Saya berharap PIBG SK Paku sudah bersedia dengan pelan untuk memperhebat usaha pembelajaran murid sekiranya sesi persekolahan kembali kepada keadaan asalnya kelak,” kata beliau.
Oleh Valentine Ngumbang