
SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) dan Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) membuka pengambilan ahli Majlis Kanak-Kanak Sibu bagi penggal 2026–2028 dengan memberi penekanan kepada penyertaan golongan rentan termasuk pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) dan kurang berkemampuan.
Pengerusi Pasukan Petugas Majlis Kanak-Kanak Sibu, Kaunselor Kiing Teck Ho berkata, bagi penggal baharu ini, pihaknya mengutamakan penyertaan pelajar dalam kategori OKU serta mereka daripada latar belakang kurang berkemampuan.
“Kami amat percaya bahawa bandar mesra kanak-kanak yang sejati harus mendengar suara golongan paling terdedah ini, sekali gus memberi ruang kepada setiap demografi dalam perbincangan,” ujarnya pada sidang media di Ibu Pejabat MPS, di sini hari ini.
Menurutnya, pengambilan kali ini turut diperluaskan kepada pelajar Sekolah Menengah Persendirian Cina (UEC) dan Sekolah Rendah Kebangsaan bagi memastikan majlis tersebut mencerminkan kepelbagaian sebenar belia di Sibu.
Mengulas pencapaian penggal sebelum ini, beliau berkata, majlis berkenaan berfungsi sebagai saluran rasmi untuk kanak-kanak menyuarakan pandangan secara langsung kepada pemimpin kerajaan tempatan bagi mempengaruhi dasar berkaitan persekitaran mereka.
“Antara pencapaian termasuk kerjasama strategik dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Bike Commute Malaysia dalam memperjuangkan reka bentuk jalan lebih selamat.
“Wakil belia kami telah membentangkan data mengenai bahaya keselamatan jalan raya serta mencadangkan pelaksanaan had laju 30 kilometer sejam di zon sekolah, khususnya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rosli Dhoby, Methodist dan SJKC Rajang Park,” katanya.
Beliau berkata, majlis tersebut akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Bahagian Sibu untuk melaksanakan kempen gaya hidup sihat merangkumi diet seimbang dan kesihatan mental di sekolah.
Bagi memperkasakan ahli yang terpilih katanya, program pembinaan kapasiti turut disediakan meliputi latihan prosedur parlimen, debat, pengucapan awam serta kesedaran moden seperti keselamatan siber dan advokasi antibuli.
“Usaha memupuk empati juga dilaksanakan melalui penglibatan dengan pusat sokongan komuniti seperti Pusat Agape Sibu, Destiny of Children dan Persatuan Autisme Sibu (SAA) yang dijadualkan pada 25 April ini,” ujarnya.
Permohonan kini dibuka kepada pelajar yang menetap di bawah bidang kuasa MPS dan MDLBS sehingga 30 Jun 2026.
Surat jemputan rasmi serta garis panduan akan diedarkan melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sibu dan secara langsung kepada lembaga pengurusan sekolah UEC.
Turut hadir ialah Setiausaha MDLBS, Ng Siang Wei dan Timbalan Setiausaha MPS, Sait Enggang.
Oleh Akun Giman