
KOTA SAMARAHAN: Polis memeriksa lapan premis penjualan vape dalam satu operasi selama lima hari di daerah ini namun tiada kesalahan dikesan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Barry William berkata operasi dikenali sebagai Op Vape itu dijalankan dari 13 hingga 17 April bagi mengesan serta membanteras pengedaran dan penjualan produk vape yang mengandungi dadah.
Menurutnya, operasi itu juga bertujuan menguatkuasakan peruntukan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 serta peraturan di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan.
“Seramai 10 pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kota Samarahan terlibat dalam operasi ini bersama 15 anggota Pejabat Kesihatan Bahagian Samarahan dan lima anggota Majlis Perbandaran Kota Samarahan,” katanya.
Barry berkata pemeriksaan dilakukan ke atas lapan premis yang menjual vape namun tiada kesalahan dikesan sepanjang operasi dijalankan.

Beliau menambah, operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai langkah proaktif bagi memastikan kesejahteraan masyarakat serta mengawal penjualan produk vape khususnya dalam kalangan remaja.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dalam penyalahgunaan dadah serta memantau anak-anak agar tidak merokok atau menggunakan vape terutama yang mengandungi dadah.
“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik komited dalam memerangi dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang. Dadah adalah musuh nombor satu negara,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Hotline JSJN Bukit Aman di talian 012 208 7222 atau Hotline JSJN IPK Sarawak di talian 017 592 9211.
Oleh Connie Chieng