SIBU: Tujuh premis kedai makanan di sini telah diberikan notis amaran atas kesalahan tidak mematuhi undang-undang ditetapkan dalam penjagaan tandas dan dapur oleh Majlis Perbandaran Sibu (MPS).
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan Awam, Persekitaran dan Perkhidmatan Perbandaran MPS, Kaunselor Yiing Sy Huat berkata, tindakan itu diambil ketika jawatankuasanya bersama kakitangan jabatan itu melakukan operasi pemeriksaan terhadap tandas premis kedai makanan di sekitar bandar ini.
“Antara kesalahan yang dilakukan ialah penggunaan peralatan dapur yang lama/pecah/sumbing dan rampasan telah dibuat. Ada juga premis didapati keadaan dapur mereka yang kurang bersih dan tidak memuaskan.
“Bagi tandas pula, premis terbabit didapati tidak meletakkan notis ‘No Smoking’ di dalam tandas dan lantai tandas dalam keadaan yang basah,” katanya di sini, baru-baru ini.
Sementara itu, Yiing berkata, sebuah premis kedai makanan didapati masih menggunakan penyedut minuman plastik dan turut diambil oleh pasukannya.
Beliau memberitahu, semasa operasi itu sebanyak lapan premis makanan di sekitar bandar ini telah diperiksa.
“Kita akan terus mengadakan operasi yang sama pada masa akan datang. Diharap premis kedai makanan sentiasa mematuhi garis panduan dan undang-undang yang telah ditetapkan.
“MPS tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemilik premis kedai makanan jika didapati bersalah dan mereka boleh dikenakan kompaun jika masih melakukan kesalahan yang berulang,” katanya.
Yiing juga turut menasihatkan agar pemilik premis kedai makanan sentiasa mengutamakan kebersihan khususnya di bahagian dapur seperti alatan dan juga tandas mereka bagi menjamin kesihatan orang ramai.
Oleh TARANI LANTING
Gambar
PERIKSA…Yiing (kanan) ketika memeriksa tandas salah sebuah premis kedai makanan dalam operasi di Sibu, semalam.