SIBU: Kekerapan banjir di Jalan Amoy, di sini akan cuba disegerakan untuk diselesaikan oleh Majlis Perbandaran Sibu (MPS).
Pengerusi MPS Clarence Ting berkata, ketika ini MPS menghadapi masalah untuk membina parit kerana terlalu dekat dengan kediaman.
“Di bahagian hadapan, kita (MPS) memang tidak dapat membina parit untuk mengalirkan air banjir.
“Tetapi, kita cuba lalukan sesuatu di bahagian belakang (kediaman) tetapi saya tidak dapat pastikan ia (bina parit) akan berjaya atau tidak,” katanya kelmarin.
Ujar beliau, kerja meningkatkan keupayaan saluran parit di Jalan Rambutan dan Jalan Belian sedang giat dilaksanakan.
Beliau juga meminta penduduk yang tinggal di Bukit Assek bekerjasama dengan MPS dalam menyelesaikan masalah banjir di kawasan itu.
Menurutnya, jambatan yang dibina penduduk di untuk melintas parit di hadapan rumah semakin rendah seterusnya mengganggu sistem saliran parit.
“Apabila jalan raya banyak kali ditinggikan, papan tersebut semakin lama semakin rendah dan menyekat saluran parit,” jelasnya.
Beliau juga meminta kerjasama daripada penduduk supaya tidak membuang sampah ke dalam parit sehingga menyebabkan air parit bertakung.
Katanya, apabila air bertakung, peratusan untuk berlakunya kejadian banjir sangat tinggi.
Oleh Nurzilla Mohamad