SIBU: Pelancaran Persatuan Biro Wanita di Rumah Lang Belon, Sungai Ilas, baru-baru ini menjadi titik penting dalam usaha memperkasakan golongan wanita di kawasan tersebut.
Majlis yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Lang dengan kerjasama Syarikat Borneo Media Sdn. Bhd. itu bukan sahaja menyemarakkan sambutan Tahun Baharu 2025, malah membuka lembaran baharu bagi pembangunan komuniti rumah panjang.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi, yang merasmikan majlis, menyifatkan penubuhan biro ini sebagai langkah strategik untuk melibatkan wanita secara lebih signifikan dalam pembangunan kampung.
“Penubuhan Biro Wanita Rumah Lang bukan sahaja mencerminkan komitmen kita terhadap pembangunan masyarakat, tetapi juga memberi ruang khusus kepada wanita untuk memainkan peranan yang lebih besar dan terarah,” katanya dalam ucapan.
Beliau turut menyumbang RM10,000 kepada biro tersebut bagi menyokong operasi dan aktiviti yang dirancang.
Selain itu, RM9,000 disumbangkan kepada JKKK Rumah Lang sebagai tajaan sambutan tahun baharu.
Menurut Ahmad Johnie, inisiatif seperti ini harus dicontohi oleh JKKK lain di kawasan Sungai Ilas.
Beliau menggesa setiap komuniti untuk meneroka pendekatan baharu dalam pembangunan yang inklusif, selaras dengan dasar kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Sementara itu, Tuai Rumah Lang Belon dalam ucapannya, menzahirkan penghargaan kepada Ahmad Johnie atas sokongan berterusan terhadap penduduk rumah panjang itu.
“Kehadiran beliau serta sumbangan yang diberikan adalah bukti keprihatinan kerajaan terhadap komuniti luar bandar seperti kami,” katanya.
Majlis pelancaran itu juga diserikan dengan persembahan daripada dua artis Iban terkenal, Angela Lata Jua dan Benedict Bas, yang berjaya memeriahkan suasana.
Hadir sama ialah Pengerusi Persatuan Biro Wanita Rumah Lang Mundun Teow.
Oleh TARANI LANTING