KOTA SAMARAHAN: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) komited menjadikan Malaysia sebagai lokasi tumpuan bagi sektor pelancongan kesihatan.
Ketua Setiausaha (KSU) MOTAC, Datuk Dr. Noor Zari Hamat berkata, kementeriannya sedang merangka pelan strategik dalam memperkasakan negara ini lokasi pelancongan bagi yang ingin mendapatkan perkhidmatan kesihatan.
“Kami memberikan penekanan terhadap aspek pelancongan ini dan saya melihat Malaysia masih lagi mendahului dalam bidang pelancongan kesihatan.
“Impak pelancongan kesihatan ini terlalu besar kerana mereka (pelancong) yang datang ke sini akan tinggal bagi satu tempoh yang lama khusus untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan,” ujarnya.
Menurutnya, usaha ini turut mampu melonjakkan industri pelancongan di Malaysia dengan penghasilan pulangan yang lumayan.
“Justeru, Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) memainkan peranan penting dalam merangka strategi bagi pelancongan kesihatan ini,” ujarnya selepas mengadakan lawatan di Ladang Nanas di Kampung Sungai Mata di sini, semalam.
Sementara itu, Menteri MOTAC, Datuk Seri Nancy Shukri mendedahkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), ramai yang menanti peluang untuk datang ke Malaysia bagi menikmati pelancongan kesihatan di sini.
“Perkara itu menjadi satu cabaran kepada mereka (pelancong) kerana negara kita tidak dapat membuka ruang untuk orang luar datang ke Malaysia sepanjang tempoh pemulihan tersebut.
“Kita mahu mereka yang datang bukan sahaja untuk pergi mendapatkan perkhidmatan kesihatan tetapi perlu melihat kepada keadaan Malaysia mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Kita mahu mereka (pelancong) yakin datang ke Malaysia dek kerana negara kita sentiasa selamat dengan kesihatan yang terjamin,” tegasnya.
Terdahulu, Malaysia diberikan penghargaan Anugerah Kesihatan dan Destinasi Pelancongan Kesihatan Terbaik 2019/2020 bagi tempoh empat tahun berturut-turut.
Selain itu, MHTC menyifatkan pengiktirafan kali keempat berturut-turut itu sebagai pemangkin dalam meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai pusat penjagaan kesihatan mengagumkan di dunia.
Di samping itu, MHTC menyatakan bahawa penghargaan ini mencerminkan komitmen negara dalam sektor penjagaan kesihatan, khususnya ketika berdepan pandemik Covid-19.
Oleh Akmal Adib Yusup