SIBU JAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Tourism Malaysia dan agensi-agensi di bawahnya akan menyusun pelbagai program dan aktiviti pelancongan budaya bagi 2025.
Menterinya, Dato Sri Tiong King Sing berkata, MOTAC juga akan melancarkan program ‘Midnight Sales’ atau Jualan Tengah Malam’ bersama pusat beli-belah.
Menurutnya, program ini akan dilaksanakan oleh pusat beli-belah dari setiap negeri.
Promosi makanan sebagai pakej istimewa juga akan dijalankan untuk memperkenal dan mempromosikan hidangan tempatan Malaysia di pusat beli-belah dan outlet lain.
“Pada masa sama, kami akan terus mempromosikan Sarawak. Saya juga meminta kerjasama Lembaga Pelancongan Sarawak membantu saya menghasilkan lebih banyak produk pelancongan di seluruh Sarawak yang akan menarik minat pelancong dari negara-negara ASEAN dan Asia, Asia Barat, Eropah, dan negara-negara lain di seluruh dunia.
“Pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 akan dilancarkan tidak lama lagi untuk memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama dunia. Oleh itu, kami mengalu-alukan semua pihak untuk bersama-sama menjayakan kempen ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Program MOTAC Bersama Komuniti Sibu, di Sibu Jaya malam tadi.
Tiong yang juga Ahli Parlimen Bintulu berkata, program yang bertemakan ‘Karnival Sibu: Merayakan 2025 Bersama’ menggambarkan perpaduan dan keharmonian masyarakat pelbagai kaum.
“Jika kita tidak bekerjasama, menghargai dan menghormati kepelbagaian bangsa dan agama, kita tidak akan dapat mencapai perpaduan dan keharmonian masyarakat. Malah, hari ini, program ini juga tidak akan dapat dilaksanakan,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong itu juga berkata, Kerajaan MADANI telah meletakkan industri pelancongan budaya sebagai sebahagian daripada keutamaan negara kerana mempunyai potensi besar dalam menjana ekonomi negara dan meningkatkan pendapatan rakyat.
Program kali ini bermula 27 Disember sehingga 31 Disember memberi manfaat besar kepada komuniti Sibu Jaya.
Pelbagai program dan aktiviti disusun seperti jualan makanan dan produk kraftangan, persembahan kebudayaan, pertandingan nyanyian, peragaan busana dan aktiviti mewarna Sibu Jaya.
Turut hadir ialah ADUN Bawang Asaan, Dato Sri Wong Soon Koh dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Wira Roslan Tan Sri Abdul Rahman.
Oleh AKUN GIMAN