SIBU: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah melancarkan Ruang Daya Cipta (RDC) di sini, bagi memupuk nilai-nilai Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) dalam kalangan komuniti, khususnya di kawasan luar bandar.
RDC yang dilaksanakan dibawah Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) itu bertujuan memberi akses kepada komuniti di Malaysia terhadap kemudahan dan peralatan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) secara lebih dekat dan mudah dicapai.
Menurut YIM dalam satu kenyataan, RDC Sibu, yang telah siap sepenuhnya pada 6 Disember 2023, dilengkapi pelbagai peralatan dan teknologi STIE, seperti komputer, mesin percetakan 3D, set studio digital dan lain-lain fasiliti berasaskan teknologi terkini untuk manfaat komuniti setempat.
“Setakat Ogos 2024, RDC Sibu telah menerima kehadiran lebih daripada 500 pengunjung daripada komuniti setempat dengan seramai 203 peserta telah menyertai 21 modul latihan sejak mula beroperasi,” katanya.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Dato Dr Aminuddin Hassim di Hab Inovasi Digital Sibu (SDIH) hari ini.
Turut hadir Pengurus SDIH Abang Fairul Syarmil Abang Mohd.
Setakat ini, YIM telah berjaya membangunkan sebanyak 17 RDC di seluruh negara, termasuk tiga di Sabah dan Johor, dua di Perak, Pahang, dan Sarawak, serta masing-masing satu di Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan, Kedah dan Selangor.
Menurutnya, pendekatan ini diharap dapat membangunkan usahawan dari kalangan B40 dan luar bandar dengan menekankan konsep inovasi yang berimpak tinggi.
Melalui latihan dan pembangunan kapasiti yang dijalankan di RDC, katanya, setiap peserta atau pengguna dapat menggunakan teknologi untuk menjana pendapatan berasaskan 10-10 STIE Ecosystem (Subscription Business Match and Sharing/Network Economy).
Selain itu, katanya, komuniti juga turut berpeluang melibatkan diri dalam aktiviti inovasi yang menggunakan teknologi sedia ada, seperti pencetak 3D, robotik, dron dan peralatan lain secara praktikal.
“Hal ini secara langsung dapat meningkatkan kualiti hidup, produktiviti, serta ekonomi komuniti melalui penghasilan idea dan kreativiti yang boleh dipasarkan.
“Secara keseluruhannya, RDC menyumbang kepada pembangunan ekonomi, peningkatan kualiti hidup, serta kesejahteraan masyarakat dalam usaha mencapai status negara berteknologi tinggi menjelang 2030,” katanya.
Untuk maklumat lanjut mengenai aktiviti dan program RDC, orang ramai boleh mengakses laman sesawang RDC melalui Sistem Ruang Daya Cipta Administration Management (RAMs) di www.rdc.yim.my.
Oleh TARANI LANTING
Gambar
Sekitar lawatan Dr Aminuddin Hassim ke Hab Inovasi Digital Sibu (SDIH) hari ini.