KUALA LUMPUR: Formula Satu (F1) Gulf Air Grand Prix (GP) Bahrain 2026 bukan sahaja menjanjikan aksi mendebarkan di litar, malah bakal dimeriahkan dengan pelbagai hiburan untuk seisi keluarga di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari Jumaat hingga Ahad ini.
Litar Antarabangsa Bahrain (BIC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan zon peminat di SIC akan menawarkan pelbagai tarikan termasuk persembahan akrobatik terkenal dari China, persembahan bergerak serta konsert menampilkan barisan artis muzik ternama.
Menurut kenyataan itu, DJ dan penerbit muzik terkenal Martin Garrix akan menjadi tarikan utama konsert selepas perlumbaan Ahad ini yang dijadual bermula 8.40 malam waktu tempatan.
“Pada malam Sabtu pula, DJ dan penerbit muzik yang pernah dicalonkan bagi Anugerah Grammy, Awell, akan menghiburkan peminat di pentas SIC pada 7.35 malam,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, aksi di litar akan bermula Jumaat ini dengan dua sesi latihan bebas selama 60 minit membabitkan barisan pelumba dan pasukan F1.
Sesi latihan bebas pertama dijadual bermula 12.30 tengah hari, disusuli sesi kedua pada 4.00 petang.
Pada Sabtu, sesi latihan bebas ketiga selama 60 minit akan berlangsung pada 12.30 tengah hari sebelum sesi kelayakan pada 4.00 petang bagi menentukan petak permulaan perlumbaan Ahad.
Perlumbaan F1 Gulf Air GP Bahrain 2026 sejauh 56 pusingan pula dijadual bermula 3.00 petang.
Selain saingan F1, Formula Trophy Malaysia (FTM) turut akan beraksi di SIC sepanjang hujung minggu perlumbaan berkenaan.
“Kejuaraan kereta satu tempat duduk Asia Tenggara bagi pelumba muda itu akan mengetengahkan bakat bintang masa depan sukan permotoran yang bersaing menggunakan jentera Tatuus F4-T421 dengan spesifikasi sama, dikuasakan enjin Abarth dan menggunakan tayar Giti,” menurut kenyataan itu.
SIC kembali menjadi pentas F1 selepas sembilan tahun apabila dipilih sebagai lokasi penganjuran GP Gulf Air Bahrain susulan pembatalan perlumbaan di Bahrain yang sepatutnya berlangsung pada April lepas akibat situasi keselamatan di rantau Timur Tengah.
SIC sebelum ini menjadi tuan rumah GP Malaysia selama hampir dua dekad, bermula dengan perlumbaan sulung pada 1999 sebelum edisi 2017 menjadi yang terakhir selepas kerajaan Malaysia memutuskan untuk tidak meneruskan penganjurannya. – Bernama





