ISTANBUL: Ketua perbadanan angkasa lepas Rusia, Roscosmos, semalam berkata, Rusia dan China merancang membangunkan loji kuasa nuklear di Bulan antara 2033 dan 2035.
“Kami serius mempertimbangkan projek itu antara 2033 dan 2035 untuk menghantar dan memasang loji janakuasa di permukaan bulan bersama-sama rakan kami di China,” lapor Agensi Anadolu (AA) memetik Yury Borisov sebagai berkata pada Festival Belia Sedunia di Sirius.
Borisov berkata, misi itu perlu dijalankan secara automatik menggunakan kaedah robotik, dengan penyelesaian teknologi yang diperlukan untuk tujuan itu kini hampir siap.
Roscosmos dan Pentadbiran Angkasa China telah menandatangani Memorandum Persefahaman dan Kerjasama pada Mac 2021 untuk mewujudkan Stesen Lunar Saintifik Antarabangsa. – Bernama – Anadolu