Kad Pokémon bernilai AS$143,000 dicuri dalam rompakan di Denmark

Facebook
WhatsApp
KAD koleksi Pokémon bernilai AS$143,000 dicuri dalam sebuah rompakan di Denmark.

COPENHAGEN, 15 November: Polis Denmark melancarkan siasatan besar-besaran pada Ahad selepas sekumpulan perompak bertopeng menyerbu sebuah kedai menjual kad Pokémon di utara Copenhagen dan melarikan barangan koleksi bernilai lebih €130,000 (AS$143,000), lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Polis sedang memburu lima lelaki yang dipercayai mengancam seorang pekerja kedai menggunakan objek menyerupai pistol di sebuah pusat beli-belah di Lyngby, utara Copenhagen.

Perompak berkenaan kemudian memecahkan kabinet pameran dan mencuri kad Pokémon yang mendapat permintaan tinggi.

Mereka dilaporkan melarikan diri dari lokasi kejadian dengan menaiki sebuah kereta.

Kad dagangan Pokémon berasaskan siri permainan video yang membolehkan pemain menangkap dan melatih makhluk fiksyen.

Kad berkenaan kekal sangat popular sejak bertahun-tahun, dengan kad yang jarang ditemukan dan mendapat permintaan tinggi dijual pada harga yang mahal. – Bernama