
DALLAS, Amerika Syarikat: Pengendali Jepun, Hajime Moriyasu berkata pasukannya hanya memberi tumpuan untuk menewaskan Sweden yang disifatkan “sangat kuat” dalam perlawanan terakhir kumpulan, dengan harapan keputusan itu cukup untuk menamatkan saingan di tempat pertama Kumpulan F.
Jika Jepun mencatat keputusan lebih baik menentang Sweden di Dallas pagi esok (waktu Malaysia) berbanding Belanda yang berdepan Tunisia yang sudah tersingkir, mereka akan mara sebagai juara kumpulan dan mengelak Brazil di pusingan 32 terakhir.
Juara kumpulan akan bertemu Morocco di Monterrey, manakala naib juara akan berdepan juara lima kali Piala Dunia itu di Houston pada hari yang sama.
Keputusan seri sudah memadai untuk Jepun layak, namun Moriyasu menegaskan mereka hanya memikirkan kemenangan.
“Bagi objektif kami, kami mahu menang dan layak di tempat pertama,” kata Moriyasu pada sidang media pra-perlawanan.
“Saya rasa bermain di Monterrey adalah pilihan terbaik.
“Kami pernah menjalani kem latihan di sana sebelum kejohanan, kami juga bermain menentang Tunisia di sana, dan pemain sudah biasa dengan suasana stadium, keadaan padang serta operasi venue.
“Jadi dapat bermain di tempat yang sudah kami kenali adalah satu kelebihan.”
Jepun dan Belanda seri 2-2 pada perlawanan pembukaan kumpulan.
Jepun membelasah Tunisia 4-0 pada aksi terakhir, namun berada di tempat kedua di belakang Belanda yang turut mengumpul empat mata, berdasarkan jumlah jaringan walaupun kedua-dua pasukan memiliki perbezaan gol yang sama.
Sweden tewas teruk 5-1 kepada Belanda, namun Moriyasu tetap berhati-hati terhadap ancaman serangan mereka yang diketuai penyerang Premier League, Alexander Isak dan Viktor Gyökeres.
“Sweden adalah pasukan yang sangat kuat,” kata Moriyasu.
“Mereka kukuh di pertahanan dan pantas dalam serangan. Ia bukan perlawanan mudah. Yang penting, kami perlu fokus untuk menang.
“Saya harap pemain pertahanan kami menikmati cabaran menentang penyerang bertaraf dunia seperti Isak dan Gyökeres.
“Saya harap mereka dapat memanfaatkan pengalaman ini untuk meningkatkan permainan mereka.”
Jepun pernah layak ke pusingan kalah mati Piala Dunia sebanyak empat kali, namun belum pernah melepasi pusingan 16 terbaik.
Mereka tewas menerusi penentuan penalti kepada Croatia pada peringkat itu pada 2022. – AFP