
MEXICO CITY: Remaja Gilberto Mora menjadi pemain termuda Mexico dalam sejarah Piala Dunia lelaki selepas dibawa masuk sebagai pemain gantian ketika pasukan penganjur bersama itu mencatatkan kemenangan 2-0 menentang Afrika Selatan pada Khamis.
Pemain perancang tengah itu dimasukkan pada minit ke-66 ketika berusia 17 tahun dan 240 hari.
Lebih 80,000 peminat di Stadium Azteca, Mexico City meraikan kehadiran remaja itu dengan laungan “Mora, Mora.” Sejurus selepas itu, Mexico berjaya menambah kelebihan gol mereka.
Mora sebelum ini sudah pun menjadi sebahagian daripada skuad Mexico yang memenangi Piala Emas ketika dia berusia 16 tahun. Penampilannya dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia ini merupakan kemunculan kesembilan secara keseluruhan bersama negaranya.
Dia merupakan pemain termuda dalam kejohanan yang diperluaskan kepada 48 pasukan itu, dan pemain Club Tijuana tersebut telah pun menarik minat kelab Eropah.
Rekod pemain termuda dalam sejarah Piala Dunia lelaki masih dipegang oleh pemain Ireland Utara, Norman Whiteside, yang beraksi pada kejohanan pada 1982 di Sepanyol ketika berusia 17 tahun dan 41 hari.- Bernama-dpa