SARATOK: Ikan sembilang seberat 280 gram membawa tuah kepada Mohd Maizatul Anas setelah muncul sebagai johan dalam Pertandingan Memancing Joran Masi yang berlangsung di Kampung Perpat semalam.
Walaupun pertandingan dalam keadaan cuaca panas terik, ia tidak sedikit pun membuatkan Mohd Maizatul dari Kampung Batang Maro itu berganjak sehingga berjaya dinobatkan sebagai johan sekaligus membawa pulang wang tunai berjumlah RM3,000 dengan mengalahkan 178 peserta lain.
Mohd Maizatul berkata beliau tidak menyangka percubaannya menyertai pertandingan itu sekadar untuk memeriahkan suasana mendatangkan hasil yang cukup memuaskan.
”Saya memang tidak menyangka memenangi pertandingan ini. Inilah yang dinamakan tuah dan saya ucapkan terima kasih kepada penganjur pertandingan.
“Mungkin ini sudah rezeki saya untuk menang. Mulanya saya ingat ada peserta lain dapat menaikkan ikan lebih besar, tetapi sehingga tamat pertandingan, kemenangan menjadi milik saya,” katanya.
Sementara itu, Salihi Rosli yang juga dari Kampung Batang Maro muncul naib johan apabila berjaya memperoleh ikan sembilang seberat 220 gram sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM800.
Manakala, Saimi Morshidi dari Kampung Kaba berada di tempat ketiga apabila berjaya memperoleh ikan sembilang seberat 190 gram dan membawa pulang hadiah wang tunai RM500.
Pemenang sagu hati bermula ditempat keempat hingga ke-10 pula masing-masingnya telah menerima hadiah wang tunai berjumlah RM50.
Kesemua hadiah kepada pemenang telah disampaikan oleh Setiausaha Kehormat PBB Cawangan Kalaka, Gapor Ahmad yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri.
Dalam pada itu, Ketua Kampung Tengah Perpat Azman Nawi berkata pertandingan yang julung kalinya diadakan itu telah dianjurkan bersama JKKK dan KRT Kampung Tengah Perpat itu telah disertai seramai 179 peserta.
Pertandingan itu katanya telah menarik minat kaki-kaki pancing dari Sibu, Belawai, Sarikei, Saratok, Tanjung Manis, Kabong, Kampung Empelam dan turut mendapat penyertaan peserta daripada Terengganu.
Oleh Adi Saparman