KUALA LUMPUR: Pemanah berpengalaman negara Mohd Juwaidi Mazuki hanya selangkah untuk mencipta sensasi meraih pingat emas selepas mara ke separuh akhir acara compound individu lelaki pada Piala Dunia Memanah 2023 Peringkat 1 di Antalya, Turkiye, malam tadi.
Menurut laman web rasmi kejohanan, Mohd Juwaidi tidak berdepan masalah menewaskan wakil India qOjas Pravin Deotale di suku akhir selepas lawannya itu mencipta kejutan menyingkirkan pemanah ranking keenam dunia Mathias Fullerton dari Denmark di pusingan ketiga.
Atlet berusia 32 tahun yang menduduki ranking ke-161 dunia menang ke atas Deotale 150-148 dan bakal membuat perhitungan menentang pemanah ranking ke-11 dunia dari Slovakia Jozef Bosansky di pentas separuh akhir yang dijadual berlangsung esok.
Sekiranya Mohd Juwaidi berjaya ke final, menanti pemenang dua pingat emas Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam tahun lepas itu adalah antara Mike Schloesser dari Belanda dan pemanah Amerika Syarikat Sawyer Sullivan yang akan berentap dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Terdahulu, Mohd Juwaidi memperbaharui rekod kebangsaan miliknya dalam pusingan kelayakan Rabu lepas apabila mengumpul keseluruhan 714 mata selepas 72 panahan sekali gus memadam rekod lama 709 mata yang dicipta di Kejohanan Memanah Asia 2019.
Dalam pada itu, pemanah elit Fatin Nurfatehah Mat Salleh yang menjadi wakil tunggal negara dalam acara compound individu wanita terkandas di pusingan kedua selepas tewas tipis di tangan Avneet Kaur dari India 145-146.
Bagaimanapun, Fatin Nurfatehah berpeluang menebus kekecewaannya itu dalam acara compound berpasukan campuran bersama Mohd Juwaidi dengan mereka menanti lawan antara Estonia dan Poland di pusingan kedua esok, selepas diberi ‘bye’ di pusingan pertama.
Sementara itu, hasrat trio Syaqiera Mashayikh, Ku Nurin Afiqah Ku Ruzaini dan Nurul Azreena Mohamad Fazil untuk mara lebih jauh dalam saingan recurve berpasukan wanita tidak kesampaian apabila tumpas kepada gandingan Denmark 2-6 seawal pusingan pertama.
Syaqiera dan Ku Nurin Afiqah bagaimanapun akan turun beraksi dalam acara recurve individu, masing-masing akan berdepan pemanah Taiwan Peng Chia-Mao dan Chiu Yi-Ching di pusingan pertama yang dijadual berlangsung hari ini.
Syaqiera yang membuat penampilan sulung Sukan Olimpik di Tokyo, Jepun tiga tahun lepas turut bergandingan bersama Muhammad Danish Amsyar Norazlan dalam saingan recurve berpasukan campuran dan akan berdepan Riau Salsabilla-Diananda Choirunisa dari Indonesia di pusingan pertama hari ini.
Piala Dunia Memanah Peringkat 1 di Antalya berlangsung dari 18 hingga 23 April ini.
Selepas ini, saingan Peringkat 2 dijadual berlangsung di Shanghai, China dari 16 hingga 21 Mei diikuti Peringkat 3 di Medellin, Colombia 13 hingga 18 Jun dan Peringkat 4 di Paris, Perancis 15 hingga 20 Ogos sebelum pusingan akhir dijangka diadakan di Hermosillo, Mexico, September ini. – Bernama