
KUALA LUMPUR: Malaysia menyambut baik langkah Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk mengkaji semula peraturan eksport cip kecerdasan buatan (AI) memandangkan kejelasan dan konsistensi dalam dasar teknologi penting bagi inovasi global, daya tahan rantaian bekalan dan pertumbuhan yang menyeluruh.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata Malaysia sedang giat bekerjasama dengan rakan dagang utama bagi memastikan akses yang lebih terjamin dan saksama kepada teknologi kritikal menerusi Pusat Tindakan Geoekonomi Negara (NGCC).
“Kami menyokong rangka kerja yang menggalakkan kepercayaan, keselamatan negara dan akses kepada teknologi bagi negara-negara yang bertanggungjawab,” kata MITI.
Kementerian itu memberi kenyataan sedemikian berhubung pertanyaan Bernama berkaitan laporan berita bahawa Washington merancang untuk mengkaji semula sekatan eksport AI.
MITI turut menegaskan bahawa sebagai pemain utama dalam ekosistem semikonduktor global, Kerajaan MADANI kekal terbuka kepada kerjasama strategik yang memacu inovasi dan pertumbuhan inklusif. — Bernama