KUCHING: Buat julung kalinya, Bahagian Miri akan menjadi tuan rumah sambutan Hari Sarawak yang bertemakan ‘Sarawak Cemerlang’ pada 22 Julai.
Menteri Pengangkutan, Datuk Lee Kim Shin berkata sambutan Hari Sarawak 2020 dilihat sebagai platform untuk menyampaikan mesej kemajuan, pembangunan dan perpaduan negeri yang telah dikecapi selama ini serta terus mengorak langkah kecemerlangan ke arah menjadi sebuah negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.
“Sambutan pada tahun ini amat berbeza lantaran isu global pendemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia sekarang, namun kita tetap akan meraikan sambutan Hari Sarawak kerana ia amat siginifikan untuk diketahui oleh semua rakyat Sarawak dan Malaysia, amnya.
“Namun, ia tetap meriah dan penuh bermakna dengan pelbagai pengisian menggunakan platform digital yang akan diadakan secara virtual dan bersiaran secara langsung melalui TV3, tvSarawak, Sarawak Event Channel, Astro Awani serta Facebook Live pada 22 Julai, jam 9.00 malam,” katanya..
Beliau yang juga menteri bertanggungjawab untuk sambutan itu berkata demikian pada sidang media sambutan Hari Sarawak 2020 di Dewan Undangan Negeri, di sini, semalam.
“Orang ramai adalah dijemput untuk menyaksikan sambutan itu daripada pelbagai saluran tersebut, kerana tempat sambutan adalah terhad kepada 250 orang sahaja demi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.
“Sambutan di Hotel Pullman Miri ini nanti turut dimeriahkan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta amanat daripada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg,” katanya.
Ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Senadin, tarikh 22 Julai merupakan tarikh yang amat bermakna buat rakyat Sarawak kerana pada tarikh tersebut 57 tahun yang lalu, Sarawak berkerajaan sendiri dan bebas daripada pemerintahan British koloni.
“Walaupun tempohnya amat singkat, tetapi impaknya kepada Sarawak amat nostalgik kerana pada ketika itulah Bendera Union Jack diturunkan dan Kabinet Negeri terbentuk, yang akhirnya menyaksikan Stephen Kalong Ningkan dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak yang pertama.
“Detik-detik bersejarah ini harus diingati oleh seluruh lapisan masyarakat di Sarawak terutamanya generasi muda masa sekarang. Rakyat Sarawak harus mengetahui, memahami dan menghayati sejarah perjuangan tahah air untuk membina jati diri sebagai anak Sarawak,” jelasnya.
Antara pengisian program pada sambutan nanti adalah tarian pembukaan tradisional Sarawak dan Digital Light Balance, simbolik perasmian, dokumentari khas ‘Marek, Kinek Tok & Kelak’, aspirasi rakyat, alunan kontemporari, sitcom ‘Kampong Selipar Putus’, kebanggaan kamek, lagu khas dan persembahan koir medley lagu Sarawakku Sayang serta Pertiwiku Tercinta.
Turut hadir Menteri Muda Wanita, Keluraga dan Pembangunan Kanak-kanak, Rosey Yunus, Menteri Muda Kerajaan Tempatan, Datu Dr Pengguang Manggil dan Menteri Muda Pelancongan, Datuk Sebastian Ting.
Oleh Zarina Abdullah