TERIMALAH… Dato Gerawat Gala menyampaikan cenderamata sebagai tanda penghargaan kepada Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Majlis Sambutan Gawai Dayak Peringkat Negeri 2022 yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di Kuching, malam kelmarin.
KUCHING: Lonjakan harga minyak mentah dunia tahun ini, membawa khabar gembira bagi Sarawak kerana ia bakal meningkatkan kutipan hasil Cukai Jualan Negeri (SST) ke atas produk petroleum dan gas.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata bayangkan negeri ini sudah mengutip RM8.52 bilion hasil SST dalam tempoh tiga tahun sejak 1 Januari 2019 hingga akhir tahun lalu.
“Kita berdoa tahun ini kita mendapat lebih banyak SST kerana kenaikan harga minyak dan gas ketika ini.
“Anda boleh kira berapa yang kita akan dapat pada akhir tahun ini,” katanya berucap pada Majlis Sambutan Gawai Dayak Peringkat Negeri Tahun 2022 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam kelmarin.
Harga minyak mentah Brent kini berada di sekitar AS$122 setong, berbanding AS$78 setong akhir tahun lalu iaitu kenaikan kira-kira 36 peratus.
Susulan itu, Abang Johari berkata akan ada satu lagi sambutan ‘Gawai’ pada hujung tahun ini.
“Gawai yang dimaksudkan itu merujuk kepada hasil kutipan SST yang mana ia merupakan tanda kesyukuran untuk hasil tuaian yang melimpah ruah.
“Selepas semua kerja keras yang kita lakukan, hasilnya dapat dinikmati. Rakyat Sarawak akan menuai apa sahaja yang kita peroleh untuk manfaat semua,” katanya.
Abang Johari berkata, jika Sarawak mempunyai kewangan yang kukuh ia akan membolehkan negeri ini melaksanakan pelan pembangunan di bawah Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
“Itulah sebabnya di bawah PCDS 2030, kita bercakap tentang keterangkuman sosial, dan apabila kita mendapatkan hasil yang baik, kita akan berkongsi dengan semua orang.
“Inilah konsep kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) supaya kita berkongsi kerjayaan bersama-sama,” katanya.
Turut hadir Isteri kepada Premier Sarawak Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang; dua Timbalan Premier Sarawak iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dato Sri Dr. Sim Kui Hian; Speaker Dewan Undangan Negeri, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan Setiausaha Kerajan Negeri Sarawak Datuk Jaul Samion.
Oleh JEAKQLEYN YACHO