KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (MINDEF) sentiasa memberi tumpuan terhadap kebajikan golongan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpencen dan tidak berpencen, khususnya yang di bawah paras kemiskinan dengan menyediakan pelbagai kemudahan bagi membantu golongan itu.
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata antara yang disediakan adalah bantuan sara hidup melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) sebanyak RM300 sebulan dengan setakat ini sebanyak 18,786 orang telah menerima manfaat melibatkan perbelanjaan RM67.6 juta.
“Selain itu, turut disediakan sumbangan khairat kepada anggota dan tanggungan iaitu RM3,000 kepada veteran dan RM1,500 kepada keluarga dengan setakat ini sebanyak RM455,000 dibelanjakan,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan R. Yuneswaran (PH-Segamat) yang ingin tahu skop pemerkasaan yang sedang dilaksanakan terhadap kebajikan dan kelangsungan hidup veteran angkatan tentera sama ada berpencen atau tidak berpencen, sejajar dengan penilaian semula dibuat terhadap golongan itu menerusi Skim Perkhidmatan dan Persaraan Negara.
Adly berkata, kementerian turut menyediakan peruntukan RM103 juta bagi tujuan rawatan, ubat-ubatan serta peralatan yang terkait rawatan kepada kumpulan veteran.
Katanya, tiga inisiatif bagi perumahan veteran turut dilaksanakan antaranya melibatkan pembinaan 40 buah rumah, 170 rumah dalam pembaikan dan inisiatif Satu Anggota Satu Rumah (SASaR).
Sementara itu, Adly berkata kementerian merancang untuk memastikan setiap negeri mempunyai jawatankuasa di peringkat JHEV bagi memenuhi keperluan lebih 213,000 veteran masa kini.
“Memanglah kita tahu kakitangan di JHEV itu agak terhad untuk melihat keseluruhan veteran angkatan tentera ini, sebab itu kita sedang merancang unruk memastikan di setiap negeri tiada lagi gabungan contohnya antara Melaka dengan Negeri Sembilan dan Kelantan dengan Terengganu.
“Kalau boleh di setiap negeri itu mempunyai jawatankuasa di peringkat kebajikan JHEV… memang ini sedang kita usahakan,” katanya.
Katanya bagi tujuan itu juga kementerian dalam usaha untuk menambah kakitangan melalui program MySTEP selain akan melibatkan veteran dan persatuan veteran.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) mengenai perancangan kementerian untuk menambah kakitangan JHEV di peringkat negeri. – Bernama