KUALA LUMPUR: Selepas lebih sedekad menyepi bagi memberi tumpuan kepada perniagaannya, juara Akademi Fantasia Musim kelima (AF5), Mila Jirin kini kembali merancakkan industri muzik tanah air menerusi pelancaran single baharu berjudul “Tersimpan Dalam Hati”.
Mila, atau nama sebenarnya Norsyarmilla Jirin, 39, berkata kemunculan semulanya itu bukan sekadar gimik sementara, sebaliknya simbol kebangkitan cita-cita seni yang pernah ditangguhkan akibat kesibukan menguruskan perniagaan dan keluarga.

Bagi memastikan kualiti terbaik, pengasas Bizmilla itu memilih untuk menjalani keseluruhan proses rakaman single berkenaan di Jakarta, Indonesia bersama-sama dengan komposer prolifik, Ilham Baso.
“Ada ketika saya sendiri tertanya-tanya sama ada impian (saya) untuk kembali menyanyi ini, masih ada ruang (dalam industri) atau tidak. Namun, saya percaya jika sesuatu impian itu ikhlas, Allah akan membuka jalannya pada waktu yang paling tepat.
“Oleh itu, karya berentak balada moden ini menjadi titik permulaan baharu untuk saya kembali bertapak sebagai penyanyi,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran single berkenaan di Bizmilla Wedding Centre, Subang Jaya dekat sini semalam.

Mila berkata Tersimpan Dalam Hati merupakan karya pertama daripada siri projek kemunculan semulanya yang bakal dimuatkan dalam sebuah album penuh.
“Setakat ini, saya telah merakamkan lima lagu di Indonesia dan akan keluar secara berperingkat. Bagaimanapun, saya juga mahukan karya komposer tempatan untuk dimuatkan dalam album yang dijangka dilancarkan pada hujung tahun ini,” katanya yang turut bercadang menganjurkan showcase pada masa sesuai.
Berkongsi mesej di sebalik lagu tersebut, beliau menjelaskan naskhah berkenaan mengangkat tema cinta, kerinduan, harapan dan impian yang terpendam, selain menterjemahkan kembara hidupnya sepanjang lebih sedekad bergelar usahawan, isteri, ibu serta anak seni.

Mengimbas kembali keputusan memperlahankan kerjaya seni suatu ketika dahulu, Mila berkongsi segalanya bermula sekitar 2010 apabila pendapatan nyanyiannya terjejas teruk.
“Saya memasak sendiri di dapur demi mencari rezeki kerana perlu menyara keluarga termasuk persekolahan adik-adik. Saya juga yang meminta ibu bapa berhenti kerja, jadi saya perlu bangkit dan melakukan apa sahaja ketika itu,” katanya.
Beliau bersyukur perniagaan yang dibina kini kian stabil dan sepanjang membangunkan jenama Bizmilla, syarikatnya berjaya mengendalikan lebih 10,000 majlis dan meraikan lebih 10 juta tetamu. – Bernama





