Michael Kong teruskan program Kembali ke Sekolah, bantu ringankan beban ibu bapa

Facebook
WhatsApp
BANTUAN PENDIDIKAN… Michael Kong Feng Nian meneruskan inisiatif membantu keluarga menyediakan keperluan persekolahan anak-anak melalui program tahunan Kembali ke Sekolah.

KUCHING, 3 November: Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen, Michael Kong Feng Nian meneruskan penganjuran program tahunan Kembali ke Sekolah bagi membantu meringankan beban kewangan ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak.

Menerusi program itu, beliau mengadakan lawatan ke Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Stampin dan SJK Sam Hap Hin untuk mengagihkan kit kelengkapan persekolahan kepada murid.

Michael berkata, beliau gembira melihat keterujaan murid menerima sumbangan berkenaan yang diharap dapat membantu keluarga membuat persiapan menjelang sesi persekolahan baharu.

Menurutnya, walaupun barangan yang disumbangkan adalah sederhana, bantuan itu sedikit sebanyak dapat mengurangkan perbelanjaan ibu bapa, khususnya ketika kos sara hidup terus meningkat.

SUMBANGAN… Michael Kong Feng Nian mengagihkan kit kelengkapan persekolahan kepada murid menerusi program tahunan Kembali ke Sekolah.

“Kenaikan kos sara hidup terus memberi tekanan kepada banyak isi rumah, manakala perbelanjaan berkaitan pendidikan kekal menjadi antara tanggungjawab yang perlu ditanggung oleh ibu bapa.

“Melalui program tahunan ini, kami berharap dapat meringankan sedikit beban keluarga, di samping mengingatkan murid bahawa masyarakat mengambil berat terhadap perkembangan dan masa depan mereka,” katanya.

Michael berkata, program berkenaan akan diteruskan pada tahun-tahun mendatang dengan sasaran memperluas manfaatnya kepada lebih ramai murid dan keluarga yang memerlukan bantuan.

Selain menyediakan bantuan kelengkapan persekolahan, beliau berharap inisiatif itu dapat menyuntik semangat kepada murid untuk terus bermotivasi dan berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajaran.

Katanya, murid juga perlu sentiasa berusaha memberikan yang terbaik dalam setiap perkara yang diceburi bagi membina masa depan yang lebih cerah.

Oleh Connie Chieng