KUCHING: Mi kolok segera merupakan enam jenis makanan dan minuman yang disediakan untuk anggota keselamatan serta badan beruniform yang bertugas semasa Aidilfitri nanti.
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, program itu bukan sekadar pemberian sumbangan makanan tetapi juga satu bentuk penghormatan terhadap dedikasi mereka yang menjaga keselamatan rakyat.
“Pada pagi raya, ketika kita menikmati juadah bersama keluarga, mereka tetap menjalankan tugas demi keamanan dan kesejahteraan rakyat.
“Kita sedar pengorbanan mereka tidak ternilai, namun ini adalah tanda kasih sayang dan penghargaan kerajaan Sarawak kepada mereka yang berkhidmat tanpa mengira waktu.
“Sejak diperkenalkan pada 2013 dengan hanya 5,000 kotak untuk dua agensi, kini program ini telah berkembang dengan jumlah sumbangan mencecah 12,000 kotak bagi 11 agensi penerima,” katanya dalam ucapan semasa majlis Pembungkusan Sumbangsih Raya 2025 (SR25) di sini, hari ini.
Tambah beliau, tahun ini kerajaan Sarawak mengekalkan jumlah sumbangan dan memperkenalkan satu produk baharu dalam setiap kotak iaitu mi kolok segera, menjadikan enam jenis makanan dan minuman yang disediakan.
“Kotak sumbangan tahun ini mengandungi serunding daging, kek buah, kacang botak, mi kolok segera, kopi 3-dalam-1 dan teh 3-dalam-1 sebagai simbol penghargaan kepada mereka yang bertugas ketika perayaan.
“Pengorbanan dan sumbangan mereka jauh lebih bernilai daripada sekadar sekotak bungkusan raya. Kerajaan Sarawak setiap tahun, tanpa gagal, memastikan program ini diteruskan melalui Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak, Salmah Jobeli berkata persiapan bagi program itu telah bermula sejak Januari lalu dan proses pembungkusan telah dijalankan secara berjadual sejak 19 Februari lepas.
“Kita bersyukur kerana semangat kerjasama yang tinggi dalam kalangan sukarelawan dan kakitangan kementerian telah memastikan kelancaran pembungkusan sumbangan ini,” jelasnya.
Majlis pembungkusan SR25 yang berlangsung hari ini menyaksikan semua tetamu termasuk tetamu kehormat dan sukarelawan berganding bahu menyiapkan 4,000 kotak terakhir yang menzahirkan semangat kebersamaan.
Majlis Simbolik Penyampaian Sumbangsih Raya bakal berlangsung pada 7 Mac 2025 dan akan disempurnakan oleh Premier Sarawak bersama isteri beliau, manakala tahun ini turut menyaksikan lawatan ziarah ke beberapa lokasi terpilih untuk bertemu keluarga anggota keselamatan.
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus; Pengarah Unit Keselamatan dan Pengukuhan Sarawak, Datuk Dr Chai Khin Chung; Pengarah RELA Negeri Sarawak, Abang Zulfikar Abang Raduan serta tetamu kehormat lain.
Oleh MASRIN AFFIRAH