Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Mexico perketat kawalan keselamatan menjelang Piala Dunia 2026
  • SUKAN

Mexico perketat kawalan keselamatan menjelang Piala Dunia 2026

Utusan Sarawak 8 hours ago
IMEJ udara ini menunjukkan Stadium Guadalajara, yang dinamakan semula daripada Stadium Akron bagi kejohanan bola sepak Piala Dunia FIFA 2026 di Zapopan, Mexico pada 1 Jun 2026. Foto AFP

MEXICO CITY: Ribuan anggota polis bersenjata kini berkawal di samping pelancong di Mexico City, ketika pihak berkuasa menegaskan bahawa tahap keselamatan berada dalam keadaan terkawal menjelang pembukaan Piala Dunia.

Perlawanan pembukaan kejohanan itu akan berlangsung pada Khamis antara Mexico dan Afrika Selatan.

Kejohanan bola sepak terbesar dunia itu berlangsung tiga bulan selepas kematian seorang ketua kartel dadah berpengaruh mencetuskan insiden tembak-menembak dan sekatan lebuh raya di barat Mexico yang mengorbankan lebih 60 nyawa.

Mexico kini menjangkakan kehadiran lebih lima juta pelawat sempena penganjuran bersama Piala Dunia bersama Kanada dan Amerika Syarikat (AS).

Lonjakan jumlah pelancong bukanlah sesuatu yang baharu bagi Mexico, yang menerima jutaan pengunjung setiap tahun.

Menerusi Pelan Kukulkan, pihak berkuasa menggerakkan hampir 100,000 anggota tentera, polis dan petugas syarikat keselamatan swasta bagi memastikan keselamatan sepanjang kejohanan berlangsung.

“Bandar raya ini mempunyai pengalaman luas dalam menganjurkan acara seperti ini serta menguruskan pergerakan orang ramai. Kami yakin dengan kemampuan tersebut,” kata Ketua Polis Mexico City, Pablo Vazquez, kepada AFP.

Ini merupakan kali ketiga Mexico menjadi tuan rumah Piala Dunia.

Jamin Keamanan

Menjelang kejohanan itu, ribuan guru yang mengadakan protes terus membayangi suasana apabila mereka menyekat lebuh raya dan menyebabkan kerajaan memasang penghadang logam di sekitar Dataran Zócalo yang bersejarah.

PRESIDEN Mexico, Claudia Sheinbaum melambai di samping Pengarah Suruhanjaya Kebangsaan bagi Kebudayaan Fizikal dan Sukan Mexico (CONADE), Rommel Pacheco, semasa upacara penyerahan bendera kepada pasukan bola sepak kebangsaan Mexico menjelang Piala Dunia FIFA 2026 di Centro de Alto Rendimiento di Mexico City pada 8 Jun 2026. Foto AFP

Zon peminat bola sepak akan ditempatkan di Zócalo, lokasi penyokong dijadual menyaksikan siaran langsung perlawanan menerusi skrin gergasi, termasuk Presiden Claudia Sheinbaum yang dijangka menonton perlawanan pembukaan pada Khamis.

Protes tersebut memburukkan lagi kesesakan lalu lintas di Mexico City, dan pihak berkuasa bimbang kumpulan guru itu akan melaksanakan ancaman untuk menutup jalan raya sebelum sepak mula perlawanan pembukaan.

“Kami akan memastikan majlis pembukaan Piala Dunia berlangsung dengan lancar, aman dan tenteram,” kata Sheinbaum pada Isnin.

Namun, keganasan yang tercetus selepas kematian ketua kartel dadah, Nemesio “El Mencho” Oseguera, pada 22 Februari lalu mendedahkan kelemahan dasar keselamatan negara itu.

Anggota bersenjata daripada Kartel Generasi Baharu Jalisco (CJNG) membakar premis perniagaan dan menyekat lebuh raya di 20 daripada 32 negeri Mexico selepas anggota elit tentera membunuh Oseguera kira-kira 130 kilometer dari Guadalajara, salah satu bandar tuan rumah Piala Dunia.

Sheinbaum bagaimanapun memberi “jaminan penuh” terhadap keselamatan kejohanan itu dan menegaskan bahawa risiko kepada pelawat adalah ‘sifar.’

Kehadiran Polis Mencuri Perhatian

Anggota polis telah ditempatkan di kawasan elit Roma dan Condesa di Mexico City dalam beberapa hari terakhir menjelang perlawanan pembukaan pada 11 Jun.

KENDERAAN Pasukan Pengawal Kebangsaan Mexico dipandu melalui Stadium Guadalajara, yang dinamakan semula daripada Stadium Akron bagi kejohanan bola sepak Piala Dunia FIFA 2026 di Zapopan, Mexico pada 1 Jun 2026. Foto AFP

Namun, jumlah yang lebih besar dikerahkan ke pusat bandar bersejarah, dengan pasukan antiprusuhan mengawasi pelawat asing yang melalui kawasan perkhemahan besar guru yang mengadakan protes.

“Agak pelik melihat begitu ramai anggota polis,” kata pelancong dari Kanada, Henry Rickets, kepada AFP.

“Di Kanada, tiada penambahan anggota polis seperti ini, jadi ia sedikit membimbangkan.”

“Saya fikir pelancong mungkin berasa takut,” kata Miriam Sanchez, seorang warga Mexico yang sudah biasa melihat penugasan polis berskala besar.

Tahap keganasan di Mexico berbeza mengikut wilayah, dengan kadar tertinggi dicatatkan di negeri seperti Sinaloa, Guanajuato, Michoacán dan Jalisco, yang ibu negerinya, Guadalajara, akan menjadi tuan rumah kepada empat perlawanan Piala Dunia.

Stadium Akron terletak hanya beberapa kilometer dari lokasi pihak berkuasa dan pasukan pencarian menemui kubur rahsia yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan jenayah.

FIFA menegaskan bahawa pihaknya yakin terhadap langkah keselamatan yang dilaksanakan Mexico menjelang kejohanan tersebut. – AFP

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Jurulatih asing terajui majoriti pasukan di Piala Dunia 2026
Next: Messi jaring gol, Argentina tewaskan Iceland dalam pemanas badan Piala Dunia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.