
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) yang dijadual diadakan pada 16 dan 17 Jun dijangka mendorong ringgit diniagakan secara berhati-hati minggu depan.
Pasaran akan meneliti kenyataan daripada Rizab Persekutuan AS (Fed) dan membuat jangkaan mengenai Kadar Dana Persekutuan bagi tahun ini.
Bercakap kepada Bernama, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata tumpuan akan terarah kepada penilaian terkini Fed memandangkan kadar inflasi keseluruhan AS berada pada paras tertinggi dalam tempoh tiga tahun iaitu 4.2 peratus pada Mei.
Beliau berkata tumpuan penting lain yang akan dipantau rapat oleh pasaran adalah reaksi kalangan bank pusat terhadap kejutan harga minyak semasa.
“Bank of Japan akan memutuskan mengenai kadar dasarnya pada 16 Jun, dengan konsensus menjangkakan kenaikan sebanyak 25 mata asas hingga satu peratus.
“Reserve Bank of Australia (RBA) juga akan bermesyuarat untuk menentukan kadar tunainya namun, pasaran menjangkakan tiada perubahan dibuat terhadap kadar faedah penanda aras itu, yang kini berada pada 4.35 peratus,” katanya.
Sementara itu, Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata faktor utama yang boleh menentukan pergerakan pasaran minggu depan adalah perkembangan terkini mengenai rundingan damai AS-Iran.
“Sekiranya kedua-dua pihak dapat mencapai kesepakatan yang boleh dipercayai, dolar AS boleh susut kira-kira tiga hingga lima peratus sepanjang bulan ini. Ini akan menjadi pemacu penting bagi pergerakan mata wang serantau termasuk ringgit,” katanya.
Berasaskan Jumaat ke Jumaat, ringgit turun kepada 4.0555/0600 berbanding dolar AS daripada 4.0280/0320 minggu lepas.
Unit tempatan juga diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama minggu ini.
Ringgit susut berbanding pound British kepada 5.4429/4489 daripada 5.4233/4287 minggu lepas dan turun berbanding yen Jepun kepada 2.5334/5364 daripada 2.5183/5209.
Mata wang domestik juga kurang stabil berbanding euro kepada 4.6979/7031 daripada 4.6882/6928.
Ringgit juga didagangkan rendah berbanding mata wang negara ASEAN.
Unit tempatan kurang stabil berbanding rupiah Indonesia kepada 227.0/227.4 daripada 223.3/223.6 dan lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.1602/1640 daripada 3.1390/1424.
Ringgit turun berbanding baht Thailand kepada 12.4105/4288 daripada 12.3433/3605, dan kurang stabil berbanding peso Filipina kepada 6.67/6.68 daripada 6.55/6.56.- Bernama