
KUALA LUMPUR: Mercu tanda baharu negara Merdeka 118 yang mencerminkan kemajuan pesat Malaysia, kini turut menjadi tumpuan baharu industri kreatif global.
Buat julung kali pencakar langit setinggi 678.9 meter milik Permodalan Nasional Berhad (PNB) menerusi anak syarikatnya PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd itu, dipilih sebagai lokasi penggambaran filem Hollywood, Thunderbolts.
Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd Tengku Datuk Ab Aziz Tengku Mahmud berkata kejayaan pembikinan filem terbitan Marvel Studios itu membuktikan potensi Merdeka 118 sebagai lokasi penggambaran ikonik yang mampu menarik perhatian global.
“Ini merupakan satu peluang unik untuk menonjolkan Merdeka 118 di pentas dunia.
“Kemunculan bangunan ini dalam filem Hollywood bukan sahaja memperkenalkan mercu tanda baharu Malaysia, tetapi juga mempromosikan Kuala Lumpur sebagai destinasi yang moden dan dinamik,” katanya kepada Bernama.
Tengku Ab Aziz berkata walaupun penggambaran hanya berlangsung beberapa hari pada pertengahan tahun lepas, perancangannya melibatkan penyediaan lokasi, koordinasi logistik serta sokongan keselamatan dan teknikal bagi memastikan operasi berjalan lancar tanpa mengganggu aktiviti harian.
“Kami bekerja rapat dengan pihak produksi untuk memastikan setiap keperluan dipenuhi secara efisien dan profesional, sambil mengutamakan keselamatan awam dan bangunan.
“Dan sekiranya ada permintaan (untuk penggambaran di Merdeka 118), kami akan menilai dan menimbang setiap permintaan yang diterima dengan mengambil kira kesesuaian dan impaknya terhadap Merdeka 118 serta persekitarannya,” katanya.
Beliau turut berharap pendedahan menara kedua paling tinggi di dunia menerusi filem itu dapat meningkatkan profil Merdeka 118 sebagai destinasi ikonik di peringkat antarabangsa sekali gus merangsang minat dalam sektor pelancongan dan ekonomi kreatif.
“Ia juga diharap dapat merangsang minat dalam sektor pelancongan, ekonomi kreatif serta menjadikan Kuala Lumpur sebagai lokasi pilihan untuk penggambaran filem dan kandungan digital,” katanya.
Terdahulu, video aksi terjunan lagak ngeri pelakon utama Thunderbolts, Florence Pugh, dari puncak Merdeka 118 mencuri tumpuan ramai selepas Marvel Studios berkongsi sebalik tabir pembikinan filem berkenaan di media sosial, baru-baru ini.
Selain Florence, filem arahan Jake Schreier itu yang dijadualkan ke pawagam bermula 2 Mei depan, turut dilakonkan antaranya David Harbour, Hannah John-Kamen, Julia Louis-Dreyfus, Sebastian Stan, Wyatt Russell dan Geraldine Viswanathan. – Bernama