PERKUKUH HUBUNGAN DUA HALA MELALUI PELABURAN… Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terima kunjungan hormat Menteri Luar Australia Penny Wong di Putrajaya, semalam. • Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Menteri Luar Australia Penny Wong bersetuju untuk memperkenalkan pelabur baharu dari Australia untuk membuat pelaburan di Malaysia, kata Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Mohamed Azmin berkata, perkara itu dinyatakan dalam pertemuan mereka di sini semalam di mana pelaburan akan dibuat itu adalah selari dengan dasar Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) yang menekankan pelaburan berkualiti dan berteknologi tinggi.
Beliau berkata elektrik dan elektronik, industri kimia, automatif, aeroangkasa dan ekonomi digital adalah antara antara sektor dibawah NIA yang akan diberikan perhatian oleh Malaysia untuk menarik pelabur Australia.
“Ini satu pendekatan baharu bukan sahaja pelaburan masuk ke dalam negara tetapi mereka bersedia untuk membuat pemindahan teknologi-teknologi baharu dan juga mewujudkan ekosistem perniagaan dan membina rantaian bekalan global dalam kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan.
“Pelabur Australia akan mengurangkan kebergantungan kita kepada tenaga pekerja asing dan beri peluang kepada PKS dalam negara untuk menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global dan ini komitmen yang telah diberikan,” kata Mohamed Azmin kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat daripada Wong, semalam.
Pertemuan kira-kira sejam di sebuah hotel di sini bersempena lawatan rasmi tiga hari Wong ke Malaysia yang bermula semalam telah membincangkan pelbagai perkara antaranya membincangkan usaha untuk memperkukuhkan hubungan dua hala Australia dan Malaysia serta ekonomi perdagangan antara Australia dan Malaysia.
Mohamed Azmin berkata, kedua-dua negara juga bersetuju supaya Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Australia (MAFTA) disemak semula supaya ia lebih relevan kepada tuntutan semasa.
Bekas Menteri Perdagangan Australia Craig Emerson dan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia Datuk Seri Mustapa Mohamed menandatangani MAFTA di Kuala Lumpur pada 22 Mei 2012. Perjanjian itu mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2013.
Australia merupakan rakan dagang ke-13 terbesar Malaysia pada 2021 dengan jumlah perdagangan berjumlah RM52.28 bilion (AS$12.43 bilion), meningkat 28.7 peratus berbanding nilai yang direkodkan pada 2020.
Mohamed Azmin berkata, Malaysia dan Australia sependapat supaya proses rundingan untuk menaik taraf Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand (AANZFTA) dapat dimuktamadkan penghujung tahun ini (2022) supaya kerjasama ekonomi dapat diperkukuhkan dalam bidang strategik yang baharu.
“AANZFTA telah dipersetujui menjadi keutamaan bagi negara-negara anggota untuk meningkatkan kerjasama di dalam platform perdagangan bebas ini,” katanya.
AANZFTA yang melibatkan 10 negara anggota ASEAN, Australia dan New Zealand, mula berkuat kuasa pada Januari 2010. Ia memansuhkan tarif untuk 90 peratus daripada barangan yang didagangkan antara blok itu dan dua negara tersebut.
Menurut laman web aseanbriefing.com, perjanjian itu akan dilaksanakan sepenuhnya pada 2025 dengan hampir semua perdagangan antara negara-negara ASEAN, Australia dan New Zealand adalah bebas daripada tarif.
Mohamed Azmin berkata, perjanjian perdagangan bebas itu penting kerana Malaysia sebagai sebuah ekonomi yang kecil dan negara dagang yang kecil memerlukan rakan-rakan untuk mengembangkan potensi atau pasaran yang lebih luas.
Menurutnya, setakat ini Malaysia telah menandatangani dan meratifikasi 15 perjanjian perdagangan bebas iaitu tujuh secara bilateral dan lapan secara regional.
“Pasaran dalam negara ini kecil dan sudah tentu dengan penyertaan Malaysia dalam banyak perjanjian perdagangan bebas ini dapat membuka ruang (lebih luas). “Salah satu perjanjian bebas ini adalah AANZFTA, apa yang pasti ia memberikan peluang kepada penggiat tempatan untuk menembusi pasaran di kalangan negara ASEAN, Australia dan New Zealand.. kita (penggiat tempatan) dapat menikmati duti import yang dihapuskan atau pun pasaran yang lebih luas,” katanya. – Bernama