
SEBELUM kapal terbang berlepas, para penumpang akan diberikan taklimat keselamatan mengenai tindakan yang perlu diambil sekiranya berlaku kecemasan.
Antara perkara yang disampaikan ialah prosedur yang perlu diikuti jika berlaku pendaratan kecemasan di atas air atau ‘ditching’.
Sungguhpun pendaratan kecemasan di atas air ini jarang terjadi, tambahan juruterbang seboleh-bolehnya akan mengelakkan ia berlaku, namun persiapan dan pengetahuan tentang situasi ini tetap penting bagi memastikan keselamatan semua pihak.
Pendaratan kecemasan boleh berlaku akibat keadaan yang tidak dijangka seperti kegagalan teknikal, misalnya masalah enjin yang tiba-tiba terhenti disebabkan oleh gangguan mekanikal atau kesilapan elektronik.
Selain itu, kehabisan bahan bakar atau cuaca buruk yang melampau seperti ribut petir, angin kencang atau hujan lebat juga boleh menjadi punca utama.
Kadangkala, faktor luaran seperti pertembungan dengan sekumpulan burung atau objek asing di udara boleh menyebabkan kerosakan enjin secara tiba-tiba.
Dalam situasi yang lebih ekstrem, pendaratan kecemasan juga mungkin disebabkan oleh serangan pengganas, rampasan kapal terbang atau kegagalan kawalan penerbangan akibat kerosakan sistem navigasi.
Jika keadaan sebegini berlaku, juruterbang perlu membuat keputusan pantas dengan mempertimbangkan semua kemungkinan bagi memastikan keselamatan penumpang dan kru penerbangan.
Sekiranya tiada landasan yang tersedia atau kapal terbang tidak akan dapat tiba dengan selamat, pendaratan kecemasan di atas air adalah menjadi pilihan yang terakhir.
Dalam situasi ini, juruterbang mesti mengikuti prosedur yang telah ditetapkan bagi memastikan keselamatan maksimum.
Mereka akan berkomunikasi dengan pihak pengawal trafik udara (ATC) untuk mendapatkan bimbingan mengenai lokasi pendaratan yang paling sesuai serta koordinasi dengan pasukan penyelamat.
Selain itu, mereka perlu memastikan sistem kapal terbang seperti hidraulik dan elektrik masih berfungsi bagi memaksimumkan kawalan semasa pendaratan.
Kelajuan dan ketinggian kapal terbang perlu dikurangkan secara beransur-ansur bagi mengelakkan hentaman kuat ketika menyentuh permukaan air.
Sebelum kapal terbang mendarat, juruterbang akan mengaktifkan sistem kecemasan seperti loceng amaran dan lampu isyarat untuk memberi makluman kepada penumpang.
Isyarat ini bagi memastikan mereka bersedia menghadapi impak seterusnya bertindak segera untuk keluar dari kapal terbang.
Penumpang perlu memberi perhatian penuh kepada arahan kru penerbangan dan mengikuti prosedur keselamatan yang telah diterangkan dalam taklimat sebelum penerbangan.
Jaket keselamatan mesti dipakai dengan betul dan hanya ditiup setelah keluar dari kapal terbang bagi mengelakkan kesukaran bergerak di dalam kabin.
Selain itu, mereka perlu mengenal pasti lokasi pintu kecemasan lebih awal dan bersedia untuk keluar dengan cepat dan teratur selepas pendaratan bagi memastikan keselamatan diri dan orang lain.
Penumpang juga perlu meninggalkan barang-barang peribadi yang berat atau besar jika ia boleh menyebabkan proses untuk keluar terganggu.
Terdapat beberapa contoh insiden pendaratan kecemasan di atas air yang berlaku dalam industri penerbangan.
Salah satu insiden paling terkenal ialah US Airways Flight 1549 pada 2009. Kapal terbang ini terpaksa mendarat di Sungai Hudson New York, selepas kedua-dua enjinnya gagal berfungsi akibat terlanggar sekumpulan burung.
Juruterbang Kapten Chesley Sully Sullenberger bersama kru penerbangan dapat bertindak dengan pantas berhasil menyelamatkan kesemua 155 penumpang yang ada dalam penerbangan tersebut.
Satu lagi insiden yang berlaku ialah Ethiopian Airlines Flight 961 pada 1996. Penerbangan ini terpaksa mendarat di Laut Hindi berhampiran Comoros selepas kapal terbang dirampas oleh pengganas dan kehabisan bahan bakar.
Malangnya, seramai 125 daripada 175 penumpang terkorban kerana menghadapi kesukaran semasa proses pendaratan dan kekurangan persiapan untuk situasi kecemasan di atas air.
Selain itu, insiden penerbangan pada 16 Oktober 1956 melibatkan Pan Am Flight 6 yang terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di Lautan Pasifik selepas mengalami kegagalan dua daripada empat enjinnya.
Kapal Terbang Boeing 377 Stratocruiser ini bertuah kerana dapat terapung setelah mendarat. Situasi ini memberikan masa yang mencukupi untuk pasukan penyelamat bertindak.
Walaupun persekitaran yang mencabar, kesemua 31 penumpang dan kru penerbangan berjaya diselamatkan tanpa kehilangan nyawa.
Mungkin pada penilaian mudah, kita menyangka apabila mendarat di atas air, keadaan air yang tampak lembut boleh mengurangkan risiko hentaman berbanding di atas tanah.
Namun, hakikatnya pendaratan di atas air mempunyai risiko yang tinggi kerana beberapa faktor yang saling berkaitan.
Struktur kapal terbang tidak direka untuk terapung dalam tempoh yang lama menjadikan ia berisiko tinggi untuk tenggelam.
Risiko ini timbul kerana hentaman kuat semasa mendarat di permukaan air yang boleh menyebabkan kebocoran atau kemasukan air ke dalam badan kapal terbang.
Apabila air memasuki bahagian dalam kapal terbang, ia akan mengurangkan keupayaan untuk terapung dan akhirnya menyebabkan kapal terbang tenggelam dengan lebih cepat.
Keadaan laut atau sungai yang bergelora, terutama ketika cuaca buruk, boleh menyukarkan proses penyelamatan dan meningkatkan risiko kecederaan atau kehilangan nyawa.
Permukaan air yang tidak rata serta ombak yang kuat boleh menyebabkan kapal terbang menjadi tidak stabil, meningkatkan kemungkinan kapal terbang terbalik atau pecah.
Sekalipun kapal terbang berjaya mendarat dengan selamat di atas air, sekiranya lokasi pendaratan itu terletak jauh dari daratan, situasi ini masih boleh menjadi sangat berbahaya dan mencabar.
Jarak yang jauh dari pantai atau pusat penyelamatan boleh menyukarkan usaha bantuan dan meningkatkan risiko kepada penumpang dan kru penerbangan.
Tambahan jika pendaratan kecemasan itu berada di perairan sejuk, pastinya mangsa berisiko mengalami hipotermia iaitu kehilangan haba tubuh dengan cepat.
Keadaan ini pasti menyukarkan daya tahan untuk hidup sebelum pihak penyelamat dapat tiba.
Sebagai penumpang, kita perlu sentiasa percaya bahawa pihak syarikat penerbangan berusaha untuk memenuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan bagi memastikan penerbangan dapat dilakukan dengan selamat. Maka jangan khuatir, terbanglah dengan rasa aman dan tenang.
- Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.