KEBIASAANNYA apabila membicarakan mengenai gerakan penentangan terhadap pemerintahan Brooke di Sarawak, nama seperti Rentap, Ngumbang, Syarif Masahor, Bantin dan Liu Shan Bang sering diketengahkan sebagai tokoh penting dalam gerakan yang dikaitkan dengan proto-nasionalisme di Sarawak.
Sebenar terdapat beberapa lagi tokoh yang boleh dikaitkan dengan penentangan terhadap kerajaan Brooke. Antara mereka adalah tokoh bernama Lang Endang.
Beliau merupakan salah seorang pemimpin kaum Dayak yang disegani oleh kawan dan lawan. Pada awalnya beliau adalah seorang pemimpin yang mendapat kepercayaan Brooke untuk melicinkan pentadbiran di Sarawak.
Namun demikian jiwa beliau yang mahu bebas daripada terkongkong oleh pemerintah Brooke ini menyebabkan berlaku konflik antara beliau dan pemerintahan Brooke.
Pegawai
Latar belakang Lang Endang ini tidak banyak diketahui. Dalam hal ini salah seorang penulis yang menulis mengenai Lang Endang iaitu E. R. Leach dalam The Sarawak Gazette menyatakan bahawa nama beliau bukan Lang Endang tetapi sebenarnya Lang Indang (Soaring Kite – Helang terbangTinggi). Dari segi nama beliau ini menunjukkan beliau bukan orang sebarangan.
S. Baring-Gould and C. A. Bampfylde pula menamakan beliau sebagai the Hovering Hawk iaitu helang yang berlegar di langit tinggi. Nama ini cukup menunjukkan kehebatannya.
Nama sebenar beliau menurut Leach adalah Kedu. Hanya disebut dalam sumber-sumber tertentu bahawa beliau adalah salah seorang kakitangan kerajaan Brooke. Dalam hal ini beliau dipertanggungjawabkan dalam mengurus hal ehwal penduduk Dayak di Skrang.
Persoalannya, apakah yang mendorong Lang Endang mengambil pendirian yang bertentangan sehingga menentang pemerintahan Brooke? Tindakan tersebut dipercayai berkait rapat dengan pendiriannya yang masih menganggap dirinya bebas dan mempunyai hak untuk bertindak serta membuat keputusan berdasarkan kehendaknya sendiri, tanpa tertakluk sepenuhnya kepada kekuasaan kerajaan Brooke.

Namun demikian, pemerintahan Brooke berusaha mengawal kedudukan dan tindakan pembesar-pembesar tempatan dengan meletakkan mereka di bawah arahan kerajaan pusat di Kuching serta dalam kerangka pentadbiran yang dibentuk oleh pemerintah Brooke.
Keadaan ini secara beransur-ansur mengehadkan kebebasan dan autonomi yang sebelumnya dinikmati oleh pembesar tempatan, sekali gus mencetuskan konflik antara kedua-dua pihak.
Bermula
Konflik bermula pada awal 1879 apabila Lang Endang mengambil tindakan sendiri untuk mengumpul bala tenteranya bagi tujuan menyerang musuh lamanya iaitu Dayak Kantu di wilayah Kalimantan dibawah pemerintahan Belanda.
Senario geopolitik di Borneo ketika itu telah berubah apabila kuasa Barat bertapak di pulau tersebut. Sempadan moden dengan pembahagian antara kerajaan Brooke dan Belanda telah diwujudkan.
Keadaan ini menyebabkan pemimpin tempatan di Borneo berhadapan dengan kuasa Barat yang berusaha mengawal dan mengehadkan pergerakan mereka agar tidak melangkaui lingkungan kekuasaan dan wilayah kediaman masing-masing.
Dalam konteks pemerintahan Brooke dan Belanda, kedua-dua kuasa tersebut telah menetapkan sempadan wilayah kekuasaan masing-masing. Oleh itu, sebarang tindakan melintasi atau menceroboh sempadan tanpa kebenaran boleh dianggap sebagai pelanggaran terhadap wilayah kekuasaan dan seterusnya dihalang oleh pihak berkuasa.
Hal ini berlaku kepada Lang Endang apabila meneruskan misi untuk menunduk musuhnya di sebelah kawasan kekuasaan Belanda. Berita tentang usaha beliau ini diketahui oleh kerajaan Brooke dan arahan dikeluarkan untuk menghalang usaha ini.
Kerajaan Brooke mengarah perahu-perahu perang yang disediakan oleh Lang Endang dimusnahkan, manakala beliau dan penduduk di Skrang yang menyokongnya didenda.
Reaksi
Tindakan kerajaan menghalang ini diterima oleh Lang Endang dengan berat hati. Beliau merasakan berlaku campur tangan kerajaan dalam perancangan beliau. Di sebalik menyatakan taat setia kepada kerajaan Brooke, beliau mula menjalankan kempen untuk menghalang penduduk Skrang membayar denda.
Sejak peristiwa Lang Endang yang berhasrat untuk menyerang musuhnya, kerajaan Brooke mula memberikan perhatian terhadap tindak-tanduk beliau dan mengesyaki bahawa kesetiaannya terhadap kerajaan tidak sepenuhnya dapat dipercayai.
Kecurigaan ini semakin meningkat apabila Lang Endang meminta kerajaan Brooke menyediakan pasukan yang terdiri daripada orang Melayu bagi membantunya menumpaskan pihak yang tidak mahu membayar denda dan melawan kerajaan.
Permintaan tersebut bagaimanapun ditolak kerana kerajaan Brooke mengesyaki bahawa tindakan Lang Endang mempunyai muslihat tertentu dan berpotensi menjadi suatu bentuk pengkhianatan terhadap kerajaan.
Dalam hal ini kerajaan mengambil langkah untuk mengawasi tindak tanduk Lang Endang. Langkah ini dilakukan pada April 1879 dengan mengumpul tentera dalam kalangan pelbagai kaum dari Kalaka, Saribas dan Batang Lupar.
Dalam hal ini Lang Endang cuba untuk meyakinkan kerajaan bahawa beliau akan menghalang tindakan melawan kerajaan di kawasannya. Di sebalik saranan ini beliau mengumpul kekuatannya di rumah panjang beliau untuk mengalahkan tentera kerajaan dengan serangan mengejut.
Serangan
Apabila tentera kerajaan sampai ke perkampungan Lang Endang, mereka telah diserang secara mengejut. Namun kekuatan tentera kerajaan berjaya mengalahkan kumpulan dibawah Lang Endang. Ramai pengikutnya dari Skrang mengalami kecederaan dan terbunuh. Perkampungan Lang Endang telah dibakar.
Akibatnya pengikutnya dari Skrang menyerah dan dikenakan denda. Mereka juga diminta berikrar untuk berkelakuan baik pada masa akan datang, manakala Lang Endang terpaksa berundur dan cuba memulihkan kekuatannya.
Dalam hal ini menunjukkan bagaimana pembesar tempatan terpaksa akur dengan perubahan geopolitik dan corak pemerintahan Barat. Kalau dahulu mereka merupakan separuh bebas dan mampu menjalankan perancangan sendiri tetapi tidak lagi pada era Brooke.
Namun demikian pemimpin tempatan tidak mudah mengalah. Perbincangan tentang apa yang berlaku seterusnya kepada Lang Endang ini akan dijelaskan dalam wacana akan datang.
- Dr. Suffian Mansor adalah Pensyarah Kanan, Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.





