SIBU, 29 Nov: Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu memastikan sebarang masalah dalaman ditangani dengan baik bagi mengelakkan gabungan itu kehilangan kerusi yang masih ditandingi pada Pilihan Raya Negeri Ke-13 (PRN13).
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, GPS perlu memanfaatkan baki tempoh kempen untuk memperkukuh sokongan di kawasan yang masih memerlukan perhatian.
“Bagaimanapun, kita perlu menangani sebarang masalah dalaman dengan baik kerana ia boleh menyebabkan kita kehilangan beberapa kerusi yang masih ditandingi,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Kejohanan Olahraga Terbuka Sibu 2026 di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Karim berkata calon GPS yang menang tanpa bertanding akan digerakkan turun padang membantu calon lain di kawasan yang dikenal pasti memerlukan sokongan tambahan.
Menurutnya, tempoh kira-kira dua minggu berbaki perlu dimanfaatkan untuk mengenal pasti kawasan yang memerlukan bantuan sebelum gerak kerja berkenaan diselaraskan.
“Kita mempunyai masa dua minggu untuk mengenal pasti kawasan yang benar-benar memerlukan bantuan. Bukan saya seorang, pemenang lain yang menang tanpa bertanding juga akan turun padang membantu,” katanya.
GPS mencatat kemenangan tanpa bertanding di 29 kerusi pada PRN13, sekali gus menyaksikan kira-kira satu pertiga daripada calon gabungan itu memperoleh kemenangan pada hari penamaan calon.
Abdul Karim, yang turut menang tanpa bertanding, menyifatkan pencapaian itu sebagai luar biasa dan mencerminkan penerimaan rakyat terhadap GPS serta kepimpinan pengerusinya, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa kemenangan tanpa bertanding di sebahagian besar kerusi tidak seharusnya menyebabkan GPS mengetepikan usaha memperkukuh kedudukan di kawasan yang masih menghadapi persaingan.




