Memotong secara berbahaya di lampu isyarat Lepapa, pemandu lori ditahan polis

Facebook
WhatsApp
PEMANDU lori terbabit berjaya dikenal pasti dan hadir ke BSPTD IPD Sri Aman kira-kira jam 6.39 petang tadi bagi membantu siasatan. Foto IPD Sri Aman

SIMANGGANG: Tindakan sebuah lori yang dipercayai memotong secara berbahaya sehingga hampir menyebabkan kemalangan di Kilometer 3, Jalan Sri Aman, berhampiran persimpangan lampu isyarat Lepapa dan Jalan Muhibbah, membawa padah apabila pemandunya berjaya dikesan polis.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, Superintenden Dennis Bunyam berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman mengesan rakaman video kejadian yang tular di media sosial.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku semalam kira-kira 10.17 malam dan memaparkan sebuah lori pengangkut muatan jenis tipper tegar Nissan berwarna putih melakukan tindakan memotong secara berbahaya.

“Perbuatan itu hampir menyebabkan kemalangan dengan kenderaan lain yang sedang bergerak dari arah berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, rakaman berkenaan turut mendapat perhatian dan komen negatif daripada orang awam kerana tindakan tersebut boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.

Susulan itu, hasil tindakan serta risikan BSPTD Sri Aman, pemandu lori terbabit berjaya dikenal pasti dan hadir ke BSPTD Sri Aman kira-kira 6.39 petang tadi bagi membantu siasatan.

“Hasil siasatan mendapati pemandu berkenaan mengakui melakukan kesalahan tersebut.

“Saringan air kencing yang dijalankan terhadapnya pula didapati negatif,” katanya.

Dennis berkata, pemandu terbabit dikenal pasti melakukan kesalahan di bawah Kaedah 6(1) LN166/59, Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan, iaitu memotong dengan cara yang berbahaya.

Sehubungan itu, IPD Sri Aman memandang serius sebarang tindakan pemandu yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, mengamalkan pemanduan berhemah dan tidak melakukan sebarang tindakan berbahaya yang boleh mengakibatkan kemalangan atau kehilangan nyawa.

“Polis turut mengalu-alukan kerjasama orang awam untuk menyalurkan maklumat atau rakaman berkaitan kesalahan lalu lintas bagi membantu pihak polis mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Oleh Adi Safarman