Mel Brooks berusia 100 tahun tampil di Comic-Con untuk sekuel ‘Spaceballs’

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
LEGENDA komedi Mel Brooks. Foto AFP

SAN DIEGO, Amerika Syarikat: Pasukan produksi filem Spaceballs: The New One, sekuel kepada parodi filem Star Wars arahan legenda komedi Mel Brooks, tampil di acara Comic-Con di San Diego pada Jumaat.

Pengarah filem tersohor itu yang baharu sahaja menyambut ulang tahun kelahiran ke-100 tidak menghadiri acara berkenaan di Hall H, lokasi terbesar konvensyen tersebut, namun beliau menyampaikan rakaman video lucu kepada penonton yang hadir.

“Saya tahu anda semua sudah lama beratur, mungkin sehingga berhari-hari, dan saya tertanya-tanya mengapa,” kata Brooks secara berseloroh.

“Ketika saya seusia anda, pada hari Jumaat, saya akan pergi ke sesuatu yang dipanggil kerja.”

Filem Spaceballs ditayangkan pada 1987 ketika kemuncak populariti saga angkasa lepas karya George Lucas.

KEVIN Smith, Josh Greenbaum, Josh Gad, Rick Moranis, Daphne Zuniga, Keke Palmer, Lewis Pullman, Benji Samit dan Dan Hernandez berucap pada sesi panel Spaceballs di Hall H Comic-Con sempena Comic-Con Antarabangsa San Diego 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen San Diego pada 24 Julai 2026 di San Diego, California. Foto AFP

Filem yang diarahkan dan dibintangi Brooks itu turut menampilkan John Candy yang meninggal dunia pada 1994, selain Rick Moranis, Bill Pullman dan Daphne Zuniga, sebelum menjadi karya klasik kultus.

“Setiap individu dalam dewan ini telah memastikan Spaceballs terus dikenang selama bertahun-tahun. Jadi, dari lubuk hati saya, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada anda semua,” kata Brooks.

Di Hall H, pengarah Josh Greenbaum yang menerajui sekuel berkenaan, yang dijadualkan ditayangkan empat dekad selepas filem asal pada April 2027, mengakui berdepan tekanan ketika mengambil alih projek tersebut.

Bagaimanapun, beliau berkata peluang bekerjasama dengan Brooks, yang walaupun sudah berusia lanjut masih terbabit dalam filem terbaharu itu sebagai pelakon, menjadi pendorong besar kepadanya.

Moranis yang kembali ke layar perak selepas berehat kira-kira 30 tahun, mengulangi wataknya sebagai Dark Helmet dan menerima tepukan gemuruh daripada penonton di dewan utama Comic-Con.

“Saya mula berbincang dengan Mel mengenai sekuel ini pada 1989 dan kami terus membincangkannya. Saya sebenarnya tidak bersara, cuma sedang berunding!” kata Moranis secara berseloroh.

Zuniga bersama bintang baharu francais berkenaan, Keke Palmer dan Lewis Pullman, turut tampil di pentas selain penulis skrip projek tersebut.

Comic-Con berlangsung di Pusat Konvensyen San Diego sehingga Ahad, 26 Julai. – AFP