BERGAYA… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg merakam gambar di Photobooth. Turut bersama (kiri) Datuk Abdullah Saidol (kanan) Datuk Amar Douglas Unggah Embas dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri bersama Media.
KUCHING: Pengamal media mesti beretika dalam menjalankan tugas dan dalam mentransformasikan persepsi serta pandangan rakyat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia penting bagi menjamin kepercayaan rakyat terhadap berita yang dilaporkan oleh pengamal media.
“Komunikasi adalah perkara yang canggih. Metodologi, niat dan mesej amat rumit sekiranya rakyat tidak memahami apa yang ingin disampaikan oleh media.
“Saya anggap media sebagai agen perkongsian ilmu antara kerajaan dan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Warga Media Bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sebuah hotel terkemuka di Kuching, malam kelmarin.
Oleh itu, Abang Johari turut menyokong konvensyen untuk para pengamal media yang bakal diadakan di Sarawak pada tahun ini.
“Bawa masuk penceramah yang berkualiti untuk berkongsi mengenai peranan sebenar media seperti dari sudut sosial, politik dan sebagainya. Ini penting untuk kebaikan masyarakat,” katanya lagi.
Abang Johari turut merakamkan penghargaan kepada para media yang turut menjadi barisan hadapan dalam menangani pandemik Covid-19 di negeri ini.
“Berkat kerjasama semua, kita telah dapat mengawal penularan Covid-19 di Sarawak,” ujarnya.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol.
Oleh NUR AIN OTSMAN