LINGGA: Kaum nelayan di Lingga mungkin tidak akan perlu bersusah payah lagi untuk mencari lokasi menjual hasil tangkapan atau melaksankan pelbagai aktiviti persatuan pada masa akan datang.
Ini kerana Kerajaan Sarawak telah pun mengumum mahu membina Rumah Persatuan Nelayan Lingga di sini dengan kos sebanyak RM150,000 kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Simoi Peri.
“Projek berkenaan akan dilaksana di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Lingga 2020 dengan proses tender bagi tujuan itu bakal dilaksana dalam masa terdekat ini nanti.
“Dengan terbinanya Rumah Persatuan Nelayan Lingga ini nanti maka kaum nelayan di sini akan dapat berhimpun untuk melaksanakan pelbagai aktiviti dan menjual hasil tangkapan sungai atau laut kepada penduduk di sini kelak,” kata beliau.
Simoi mengumum perkara berkenaan ketika berucap merasmikan ‘Agriculture Community Outreach Programme’ atau AgriCOP bertempat di Stesen Perikanan Darat Lingga di sini baru-baru ini.
Selain itu beliau pada majlis itu juga memberitahu bahawa Kerajaan Sarawak telah pun melaksana Program Fasilitasi Pertanian dengan setiap ADUNnya diperuntuk sebanyak RM1 juta di bawah seliaan Jabatan Pertanian Negeri Sarawak untuk bantuan input.
“Saya yakin kemudahan yang disedia oleh Kerajaan Sarawak menerusi Jabatan Pertanian Negeri ini nanti akan dapat membantu para nelayan, petani, pekebun dan penternak kita untuk mempertingkatkan lagi pendapatan mereka dari masa ke semasa,” kata Simoi.
Terdahulu seramai 50 orang nelayan telah mengambil bahagian dalam aktiviti pembaikan bot yang diadakan bersempena dengan penganjuran AgriCOP bertempat di Stesen Perikanan Darat Lingga tersebut.
AgriCOP ini adalah merupakan salah satu program anjuran Kerajaan Sarawak bagi mempertingkat pengetahuan dan kemahiran penduduk, mempertingkat pendapatan dan taraf hidup keluarga tani serta mempertingkat pengeluaran hasil pertanian dalam kawasan ini.
Oleh Valentine Ngumbang