SIARAN LANGSUNG… Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyaksikan siaran lintas langsung pelancaran MEASAT-3d dari Kourou Space Centre, French Guiana di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC-KL), semalam. Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.• Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Satelit MEASAT-3d berjaya dilancarkan di French Guiana, Amerika Selatan pada 6.50 petang waktu tempatan 22 Jun (5.50 pagi waktu Malaysia,23 Jun). Satelit telekomunikasi milik MEASAT itu dilancarkan menerusi roket pelancar Ariane-5 di Pusat Angkasa Lepas Guiana yang terletak kira-kira 17,000 kilometer dari Malaysia.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Mohammad Mentek mengetuai delegasi Malaysia ke tapak pelancaran roket itu.
Beliau turut disertai Duta Besar Malaysia di Perancis Datuk Mohd Zamruni Khalid, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Yakub Khan, wakil Kementerian Pertahanan Laksamana Muda Datuk Shamsuddin Ludin dan Ketua Pegawai Operasi MEASAT Yau Chyong Lim.
Pelancaran itu disaksikan secara langsung Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa; Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba serta beberapa menteri kabinet lain di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Turut hadir Pengerusi Astro Malaysia Holdings Bhd Tunku Ali Redhaudin Tuanku Mukhriz dan Pengarah Measat Global Shaharul Rezza Hassan.
Satelit yang dianggar melibatkan kos RM1.2 bilion dengan jangka hayat 18 tahun itu dijangka mampu merapatkan jurang ketersambungan digital dan membentuk masa depan ketersambungan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia, selaras inisiatif kerajaan melalui pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Satelit MEASAT-3d berukuran 31 meter (m) x 9m x 5m seberat 5,600 kilogram itu dilancarkan bertujuan untuk meningkatkan perkhidmatan perhubungan kepada Malaysia dan negara-negara serantau serta beberapa perkhidmatan baharu melalui satelit berkenaan dijangka dapat ditawarkan seawal Ogos 2022.
Satelit itu merupakan jenis Geostationary Equatorial Orbit atau GEO mempunyai tapak liputan yang luas dan berkemampuan untuk menyediakan perkhidmatan jalur lebar yang pantas dan menyokong aliran tinggi data dikenali sebagai High Throughput Satellite (HTS).
HTS adalah antara perkhidmatan penting dalam penyediaan perkhidmatan jalur lebar tinggi terutamanya di kawasan pedalaman.– Bernama