SIBU JAYA: Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) telah mengambil tindakan segera bagi menangani isu banjir kilat di Blok T (kawasan flat) dan Town Villa A di sini.
Pengerusinya, Sempurai Petrus Ngelai berkata, bagi kawasan Blok T (kawasan flat) pihak majlis telah bekerjasama dengan Amcorp Sdn Bhd, yang sedang menjalankan projek pembangunan berterusan bersebelahan kawasan flat tersebut.
“Pagi semalam (Jumaat), kontraktor dari AMCORP turun padang membantu dengan mewujudkan beberapa saluran air sementara bertujuan untuk memudahkan pengaliran air dan mengurangkan banjir di kawasan ini,” katanya menerusi kenyataan akhbar.
Beliau berkata, bagi kawasan Town Villa A, Pasukan Kesihatan dan Perkhidmatan Perbandaran MDLBS melawat tapak yang terjejas untuk menilai keadaan.
“Mereka bekerjasama rapat dengan kontraktor pembersihan longkang untuk memastikan semua sistem perparitan bebas daripada tersumbat.
“Selain itu, sebarang kerosakan infrastruktur saliran yang dikenal pasti semasa pemeriksaan akan dilaporkan kepada bahagian kejuruteraan untuk tindakan pembaikan segera,” katanya.
Sempurai berkata, majlis tetap komited untuk menyelesaikan isu banjir kilat dan akan terus memantau keadaan dengan teliti.
“Usaha akan dipergiat untuk memastikan kawasan yang terjejas dipulihkan kepada keadaan normal secepat mungkin,” katanya.
Oleh AKUN GIMAN