SARATOK: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok terus memperkasa pengetahuan keselamatan dalam kalangan komuniti menerusi pengisian Karnival Sekolah Kita Agenda MADANI di Sekolah Kebangsaan (SK) Praja Saratok, hari ini.
Pegawai APM Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata, pihaknya telah dijemput untuk menyampaikan pelbagai ilmu asas keselamatan kepada warga sekolah menerusi program berkenaan.
Menurutnya, pengisian merangkumi Asas Pertolongan Cemas, kaedah menangani kes tercekik (choking), bantuan pernafasan dan resusitasi kardiopulmonari (CPR), rawatan balutan luka serta pengurusan kes kepatahan.
“Selain itu, peserta turut didedahkan dengan pengetahuan berkaitan pengendalian ular berbisa sebagai persediaan menghadapi situasi kecemasan yang mungkin berlaku,” katanya dalam satu kenyataan.

Program tersebut melibatkan seramai 29 pelajar, 11 guru dan sembilan ibu bapa serta berlangsung dengan lancar.
APM Saratok turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga SK Praja Saratok atas jemputan dan kepercayaan yang diberikan kepada pihaknya untuk berkongsi ilmu keselamatan.
Program berkenaan turut disokong lima anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) APM Saratok, iaitu Lans Koperal Rozita Wasli, Prebet Domsen Enggul Mota, Prebet Fakhrullah Azhad Daud, Prebet Spencer Nyambar Minggu @ Sijang dan Prebet Muhammad Zul Sidi.
Perkongsian tersebut diharap dapat meningkatkan kesedaran serta keyakinan warga sekolah dan ibu bapa dalam memberikan tindakan awal yang tepat ketika berdepan situasi kecemasan.
Oleh Adi Safarman





