KUCHING: Polis Padawan meminta bantuan orang ramai untuk mengesan seorang lelaki berusia 45 tahun, Hoo Boon Hui, yang dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat di Taman Phoenix, Jalan Batu Kawa di sini pada 12 September lalu.
Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Barry William, berkata Balai Polis Kota Sentosa menerima laporan berhubung kehilangan lelaki berkenaan pada kira-kira 3.28 petang, semalam.
“Lelaki berkenaan, Hoo Boon Hui, 45, kali terakhir dilihat kira-kira 6.00 petang pada 12 September di Taman Phoenix, Jalan Batu Kawa, Kuching,” katanya.
Menurut Barry, lelaki itu dipercayai memakai baju-T berwarna coklat dan seluar pendek berwarna hitam ketika kali terakhir dilihat.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai keberadaan lelaki berkenaan diminta menghubungi Ketua Polis Balai Kota Sentosa, ASP Rudy Garit Anak Gingkoi Seman di talian 017-397 8670, Bilik Gerakan IPD Padawan di talian 082-862 233 atau mana-mana balai polis berhampiran.





