
SIBU: Senarai Ahli Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) yang baru dilantik menyaksikan gabungan seimbang antara ahli majlis berpengalaman dan wajah-wajah muda yang penuh semangat.
Pengerusi MDLBS, Sempurai Petrus Ngelai percaya pendekatan ini akan menyemarakkan lagi majlis dengan idea-idea inovatif serta membimbingnya dalam pembentukan dasar yang lebih efektif.
“Saya berhasrat untuk terus memperkukuhkan penglibatan komuniti melalui pendekatan turun padang, mendengar dan menangani kebimbangan serta keperluan rakyat dengan lebih efektif.
“Sebagai pengerusi, saya ingin memastikan penglibatan komuniti terus diperkasakan. Kami akan mendengar suara rakyat dan memberikan penyelesaian yang lebih berkesan,” kata beliau pada majlis angkat sumpah yang dirasmikan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian di Wisma Sanyan, hari ini.
Sempurai turut menekankan kepentingan meningkatkan penyampaian perkhidmatan perbandaran, terutamanya dalam aspek infrastruktur, kesihatan alam sekitar dan pengurusan sisa.
Beliau turut menjelaskan MDLBS akan menyelaraskan visi mereka dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) bagi memastikan dasar dan program yang dirangka dapat menyumbang kepada pembangunan inklusif dan mampan.
Seramai 32 ahli majlis telah dilantik, dengan sembilan daripadanya pelantikan baharu manakala selebihnya pelantikan semula.
Daripada jumlah tersebut, tujuh daripada mereka adalah dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), 12 dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), lima dari Parti Demokratik Progresif (PDP) dan lapan dari Parti Rakyat Sarawak (PRS).
Ahli majlis yang dilantik dari PBB ialah Michael Dee, Mohamad Arhman Ahmad Mahdi, Johny Sain, Leo Albert Tony, Sofia Ujang, Minggu Angga dan Denis Atut.
Sementara itu, dari SUPP ialah Collin Tinting @ Gindien, Tay Yeong Soon, Yong Ing Hock, Kevin Lau Kor Jie, Wong Sing Ing, Johnny Ganing, Jeksen Chuban, Loi Kwong Lee, Chieng Siew Yee, Baling Sumbang, dan Jimmy Patrick Yiu Wan Wei.
Dari PDP pula ialah Wong Hua, Dr Ling Sien Ngan, Teo Ming Pau, Hii Bee Choon, dan Stanley Ngelambai Majang manakala dari PRS ialah David Entulu, Henry Kanyan Vincent Rawing, Lawrence Lun Lupang, Binit Madang, Dr Gavin Man Gima, Stanley Kuda Jabat, dan Morris Johnny.
Oleh Tarani Lanting