MANCHESTER, United Kingdom: Julian Alvarez mengisi kekosongan ditinggalkan Erling Haaland dengan satu gol dan dua bantuan gol ketika Manchester City bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Sevilla 3-1 sebentar tadi.
Juara England itu beraksi tanpa Haaland yang mengalami kecederaan kaki namun sudah memastikan tempat teratas Kumpulan G Liga Juara-Juara membuatkan Guardiola mengambil peluang merehatkan Kevin De Bruyne, Rodri, Bernardo Silva dan Joao Cancelo di bangku simpanan.
City yang banyak berubah ketinggalan sebelum rehat hasil tandukan Rafa Mir.
Namun pemain berusia 17 tahun, Rico Lewis menyamakan kedudukan pada penampilan penuh pertamanya di babak kedua sebelum hantaran De Bruyne memberikan Alvarez gol keempatnya buat City.
Pemain Argentina itu kemudiannnya mengumpan buat Riyad Mahrez yang melengkapkan kebangkitan pasukan itu tujuh minit sebelum tamat.
Kemenangan menyaksikan City menamatkan aksi kumpulan dengan kelebihan lima mata di depan Borussia Dortmund manakala Sevilla jatuh ke Liga Europa selepas menamatkan kedudukan di tangga ketiga.
“Satu daripada sebab ia malam yang hebat buat Julian,” kata Guardiola. “Dia membuat dua bantuan gol dan satu gol.
“Kita tahu betapa bagusnya dia dan kualiti dimilikinya. Hari ini dia begitu sabar.”
Haaland tidak mampu disekat ketika kedua-dua pasukan bertemu pada September dengan City menang 4-0.
Tanpa penyerang Norway itu, skuad kendalian Guardiola tampak kurang kekuatan di bahagian serangan dengan hanya meledak empat gol dalam lima aksi terakhir.
Juara bertahan Liga Perdana itu mendominasi kawalan bola tetapi gagal menyudahkan peluang pada babak pertama. – AFP