MBM perkasa agenda kelestarian melalui Wira Hijau 2026

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

MIRI: Mengasingkan sisa, mengurangkan penggunaan plastik sekali guna, menanam pokok dan menjaga kebersihan mungkin dilihat sebagai tindakan kecil. Namun, apabila diamalkan secara konsisten oleh seluruh masyarakat, ia mampu membawa perubahan besar terhadap kelestarian bandar raya ini.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM), Adam Yii Siew Sang berkata, usaha membina bandar raya yang bersih, hijau dan sihat bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan penyertaan aktif seluruh komuniti.

“Kelestarian bermula daripada tindakan harian setiap individu. Mengasingkan sisa, mengurangkan penggunaan plastik sekali guna, menanam pokok dan menjaga kebersihan kawasan merupakan langkah kecil yang mampu membawa perubahan besar kepada bandar raya kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Komuniti Wira Hijau 2026 Siri Ke-2 di Balai Raya Kampung Pujut Adong, di sini, hari ini.

Program berkenaan diteruskan bagi mendekatkan budaya kelestarian kepada masyarakat menerusi penglibatan langsung komuniti setempat.

Pelbagai aktiviti diadakan, termasuk Kempen Sifar Sampah melalui gotong-royong, penanaman pokok, Kempen Beli Balik Barangan Kitar Semula, ceramah kesedaran mengenai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), saringan kesihatan percuma serta pameran pelbagai agensi.

Menurut Yii, inisiatif itu bukan sahaja meningkatkan kesedaran mengenai pemeliharaan alam sekitar, malah menggalakkan masyarakat memberi perhatian terhadap kesihatan dan mengamalkan gaya hidup lestari.

Beliau turut menyeru orang ramai agar tidak sekadar menjadi peserta dalam program kelestarian, sebaliknya tampil sebagai Wira Hijau dalam kehidupan seharian.

“Marilah kita bukan sekadar menjadi peserta program, tetapi menjadi Wira Hijau dalam kehidupan seharian.

“Bersama-sama kita membina Miri yang lebih bersih, lebih hijau, lebih sihat dan lebih lestari demi generasi hari ini serta masa hadapan,” katanya.

Program itu merupakan sebahagian daripada Program Gotong-Royong Kempen Pembersihan Kampung Angkat LA21/SDG 2026 yang memberi penekanan kepada penglibatan komuniti dalam menjayakan agenda pembangunan mampan di peringkat akar umbi.

Oleh Liong Chai Ling