MADRID: Kylian Mbappe menjaringkan gol untuk kali keempat berturut-turut ketika membantu Real Madrid menewaskan Alaves 3-2 dalam saingan La Liga, awal pagi tadi.
Madrid menguasai perlawanan menerusi jaringan Lucas Vazquez, Mbappe, dan Rodrygo sebelum serangan lewat daripada pasukan pelawat mengejutkan pasukan kendalian Carlo Ancelotti.
Carlos Protesoni dan Kike Garcia menjaringkan dua gol dalam masa dua minit di hujung permainan tetapi Madrid berjaya mempertahankan kedudukan untuk meraih tiga mata penuh.
“Inilah bola sepak, anda boleh fikir perlawanan sudah tamat, (kemudian berlaku) kesilapan kecil dan mereka menjaringkan gol pertama, mereka mendapat keyakinan dan inilah yang berlaku.
“Sudah tentu kami tidak mahu ini berlaku, tetapi ia boleh terjadi.
“Pujian harus diberikan kepada pemain di mana selama satu jam pasukan bermain dengan baik dan itu memberikan kami keyakinan,” kata Ancelotti kepada pemberita.
Los Blancos mengatasi Alaves sejak awal permainan dalam apa yang dilihat sebagi perlawanan yang sangat tidak seimbang untuk sebahagian besar perlawanan, walaupun pasukan Basque itu memulakan musim ini dengan baik.
Mbappe dikeluarkan selepas 80 minit perlawanan dan dilihat memegang bahagian belakang pahanya.
“Dia baik-baik saja, dia meminta saya untuk menukarnya bagi mengelakkan masalah lebih serius,” jelas Ancelotti. – AFP.