MADRID: Bekas penyerang Real Madrid, Karim Benzema percaya Kylian Mbappe mesti belajar untuk bermain sebagai penyerang tengah di ibu kota Sepanyol kerana dia tidak boleh menggantikan Vinicius Junior di sayap kiri.
Mbappe melengkapkan perpindahan diidamkannya ke Madrid musim panas ini yang menamatkan perjanjian di Paris Saint-Germain, namun dia tidak menemui sentuhan terbaik di bawah Carlo Ancelotti.
Jurulatih itu mengekalkan pemain antarabangsa Brazil, Vinicius di posisi kesukaan pemain itu di bahagian sayap dan meletakkan Mbappe, yang suka bermain di kiri, ke bahagian tengah.
“Masalahnya, pada pandangan saya, ialah (Mbappe) bukan penyerang tengah, walaupun bersama pasukan kebangsaan, setiap kali dia bermain sebagai nombor sembilan dia rasa tidak selesa, kerana itu bukan posisinya,” kata Benzema kepada televisyen Sepanyol, El Chiringuito.
“Di bahagian kiri, dia bukanlah pemain yang setaraf Vinicius, jadi di situ ada masalah, anda tidak boleh meletakkan Vinicius sebagai nombor sembilan atau di kanan, kerana jika dia bermain di kiri, dia akan mendatangkan perbezaan dalam setiap perlawanan.
“Mbappe bukan pemain nombor sembilan tulen. Orang mahukan yang lebih daripadanya dan dia melalui bebanan yang banyak, ini bukan Paris Saint-Germain.”
Benzema, yang menang Ballon d’Or di Real Madrid pada 2022 sebelum menyertai kelab Arab Saudi, Al-Ittihad tahun lalu, berkata penyerang itu mesti terus bekerjasa keras bagi menyesuaikan diri dengan peranan baharunya.
“(Saya menasihatkannya) tidak berputuas asa, kerana saya tidak rasa dia akan memberi tekanan buat Vinicius untuk menukarnya – dia adalah pemain terbaik dunia ketika ini,” kata Benzema. – AFP