SHEILA ZAIDI
BAKO : Mayat seorang mangsa bot karam di perairan Pulau Lakei di sini Sabtu lalu berjaya ditemui oleh nelayan pagi semalam.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak, Laksamana Pertama Robert Teh Geok Chuan berkata, mayat mangsa ditemui pada jarak satu batu nautika barat laut Pulau Lakei iaitu lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Ketika dijumpai mangsa masih lengkap berpakaian berbaju merah lengan panjang dan mayat mangsa seterusnya dibawa ke jeti Kampung Bako.
“Ahli keluarga mangsa juga telah mengesahkan mayat yang dijumpai adalah mangsa yang dilaporkan hilang,” katanya pemberita dalam satu kenyataan semalam.
Menurut Robert, mayat seterusnya dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan lanjut.
Katanya, dengan penemuan dan pengesahan mayat mangsa, operasi CARILAMAT ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.40 pagi semalam.
Robert Teh Geok Chuan mewakili Maritim Negeri Sarawak merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua agensi dan komuniti Maritim yang telah memberikan komitmen dan usaha yang tinggi dalam operasi yang dijalankan.
Sabtu lalu, mangsa, Jamlee Masli, 41, hilang selepas bot yang dinaikinya bersama bapa dan adiknya karam di laut berhampiran Pulau Lakei.Bapa dan adik mangsa bagaimanapun terselamat dalam kejadian tersebut.
Berdasarkan rakaman percakapan daripada mangsa yang selamat, memaklumkan bot mereka telah karam pada jam 9.30 pagi dan mereka bertiga telah berenang menuju ke Pulau Lakei dengan berpaut pada dua jaket keselamatan.
Mereka bertiga tiba di Pulau Lakei pada jam lebih kurang 5.30 petang, namun kira-kira 50 meter sebelum tiba, mangsa telah terlepas daripada pautan dan hilang.Mangsa disahkan meninggal dunia selepas mayatnya ditemui semalam.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) ini turut disertai oleh anggota daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak (JPBM) dan penduduk kampung Bako.